SUNGAI BULOH – Sebuah stor perabot dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, awal pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.31 pagi sebelum menggerakkan jentera ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Khairul Mat Yassin berkata, jentera pertama tiba pada pukul 12.40 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan bahagian hadapan stor perabot berkeluasan 50 x 50 kaki persegi serta dua kenderaan.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan teknik relay pumping dari sumber pili bomba berhampiran dengan jarak penyaluran kira-kira 400 kaki menerusi dua aliran nozel.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua kenderaan mengalami kemusnahan anggaran 95 peratus, manakala bahagian hadapan stor perabot mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 1.38 pagi. Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden berkenaan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BBP Sungai Buloh
