BAGAN DATUK – Dua atlet memanah MRSM Bagan Datuk (MABDA) mencuri tumpuan selepas cemerlang membawa cabaran Perak B pada Kejohanan Sukan dan Permainan MRSM Kebangsaan (SUPER X) 2026.
Lebih membanggakan, Medina Zehra Hasnal, 2 Ibn Tufail muncul Johan Keseluruhan Kategori Perempuan selain membantu pasukan meraih Johan Keseluruhan Berpasukan Perempuan.
Medina turut meraih Naib Johan Pusingan Penyingkiran Perempuan, tempat ketiga jarak 60 meter dan 40 meter, tempat keempat jarak 50 meter serta tempat kelima Pusingan Penyingkiran Perempuan.
Seorang lagi atlet MABDA, Nur Irdina Balqis Shaiful Anuar, 1 Ibn Battuta turut menyumbang kepada kejayaan pasukan apabila membantu meraih Johan Keseluruhan Berpasukan Perempuan.
Irdina turut meraih Naib Johan Pusingan Penyingkiran Perempuan dan tempat kelima dalam acara sama.
Muafakat MRSM Bagan Datuk menerusi hantaran di Facebook merakamkan tahniah kepada kedua-dua atlet atas pencapaian membanggakan itu.
“Kejayaan ini bukan sekadar tentang pingat dan kedudukan. Ia adalah hasil fokus, disiplin, ketepatan dan semangat juang yang dibawa oleh atlet MABDA sehingga ke pentas kebangsaan,” menurut hantaran itu.
Penghargaan turut diberikan kepada guru pembimbing, Ustazah Wan Firiyah, Ustaz Hafiz Omar dan Cikgu Nur Fatin Ayuni, atas segala bimbingan, komitmen dan sokongan sepanjang perjalanan pasukan.
Pencapaian berkenaan sekali gus mengharumkan nama MRSM Bagan Datuk di pentas kebangsaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Muafakat MRSM Bagan Datuk
