UMNO - Gambar hiasan
Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
TERAS Pengupayaan Melayu
SHAH ALAM – Pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan landskap politik Malaysia memasuki fasa baharu apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk sebagai formula bagi mengakhiri fragmentasi politik, memulihkan kestabilan makroekonomi dan memelihara integrasi nasional.
Gagasan tersebut dicetuskan hasil kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menaungi institusi Yang di-Pertuan Agong XVI sebagai formula politik yang menuntut perubahan daripada politik persaingan kepada politik akomodasi.
Bagaimanapun, perkembangan politik semasa menunjukkan komitmen terhadap konsep konsosiasional itu mula berdepan cabaran susulan dinamika dalaman parti-parti komponen kerajaan.
Antara yang menjadi perhatian ialah UMNO yang dilihat berdepan ambivalensi politik, iaitu percanggahan antara komitmen terhadap tadbir urus secara bersama dengan usaha memulihkan imej dan modal politik parti.
Strategi kelangsungan politik
Dari perspektif sains politik, penyertaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh dilihat melalui konsep political survival atau kelangsungan politik.
Prestasi UMNO pada PRU15 yang merupakan antara kemerosotan paling ketara dalam sejarah parti menjadikan penyertaan dalam blok eksekutif satu langkah strategik bagi memastikan kelangsungan dan relevansi politiknya.
Akses kepada pentadbiran Putrajaya membolehkan kepimpinan UMNO mengekalkan kedudukan dalam struktur kuasa, selain memastikan parti tidak terus terpinggir daripada arus politik nasional.
Namun, keadaan itu turut mewujudkan kelonggaran dari segi ideologi apabila kepentingan pragmatik jangka pendek dilihat berdepan dengan tuntutan penyatuan nasional untuk jangka panjang.
Dua wajah politik
Hasrat penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah untuk membentuk sebuah pentadbiran yang berfungsi secara kolektif demi kepentingan rakyat.
Namun, UMNO dilihat mempamerkan dua pendekatan berbeza menerusi peranan pemimpinnya dalam Kabinet dan aktiviti politik parti.
Dalam sektor eksekutif, pemimpin UMNO memegang portfolio strategik serta melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, di pentas domestik parti termasuk Perhimpunan Agung UMNO (PAU), nada yang dibawa dilihat lebih konfrontasi apabila terdapat kritikan terhadap dasar kerajaan khususnya berkaitan kos sara hidup dan penyasaran subsidi.
Desakan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula turut menjadi antara isu yang dibangkitkan.
Pada masa sama, terdapat kenyataan dan desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disegerakan yang boleh ditafsirkan sebagai tekanan politik terhadap rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.
Keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap prinsip collective ministerial responsibility atau tanggungjawab bersama menteri apabila pendirian parti dilihat tidak selari dengan pendekatan kerajaan yang dianggotai bersama.
Fenomena berkenaan juga boleh ditafsirkan sebagai usaha UMNO memulihkan modal politik dalam kalangan pengundi Melayu, walaupun ia berpotensi menjejaskan kebersamaan dasar kerajaan.
Hakisan kepercayaan awam
Kekerapan UMNO mencetuskan polemik, termasuk berkaitan pendedahan dokumen rundingan dalaman dan tuntutan terhadap hak prerogatif tertentu, turut menguji hubungan antara komponen Kerajaan Perpaduan.
Keadaan itu mendedahkan cabaran untuk mengekalkan konsep gencatan senjata politik yang menjadi asas kepada kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.
Naratif mengenai ketidakstabilan hubungan PH-BN pula boleh dilihat sebagai kesan daripada perubahan kalkulus politik yang dibuat berdasarkan kepentingan semasa.
Sikap sedemikian bukan sahaja menguji kesabaran rakan gabungan, malah berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap formula Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan bagi memastikan kestabilan politik negara.
Risiko menjelang PRU16
Dualisme politik yang berlaku turut membawa risiko terhadap kelangsungan kerjasama PH-BN menjelang PRU16.
Antaranya ialah kemungkinan kehilangan sokongan pengundi atas pagar yang mengutamakan kestabilan dasar dan pentadbiran.
Ketidakselarasan naratif antara parti komponen kerajaan boleh menghantar isyarat negatif kepada kelompok pengundi berkenaan sehingga mendorong mereka menolak formula PH-BN.
Selain itu, kerjasama yang bersifat transaksional boleh menjejaskan proses pemindahan sokongan dan mobilisasi jentera di peringkat akar umbi.
Apabila terdapat pemimpin UMNO yang secara terbuka membayangkan kemungkinan jajaran baharu dengan parti pembangkang seperti Pas atas alasan formula semasa berisiko menyebabkan kehilangan sehingga 15 peratus sokongan pengundi Melayu, keadaan itu boleh menjejaskan integrasi jentera di lapangan.
Situasi tersebut pada masa sama berpotensi memberikan kelebihan strategik kepada Perikatan Nasional (PN).
Amanah politik perlu diutamakan
Gagasan institusi diraja dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang inklusif dan stabil merupakan satu langkah penting bagi mengembalikan kestabilan politik negara.
Namun, gagasan tersebut berdepan cabaran apabila kepentingan kelangsungan politik parti dilihat semakin dominan dalam menentukan pendirian.
Jika UMNO terus mengamalkan pendekatan politik dua wajah demi mengembalikan pengaruh dan mengejar kedudukan dominan, ia bukan sahaja berisiko menjejaskan konsensus dalam Kabinet, malah boleh menghakis keyakinan terhadap formula Kerajaan Perpaduan.
Justeru, persoalan utama menjelang PRU16 bukan sekadar siapa yang mampu memenangi pilihan raya, tetapi sejauh mana parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu mengutamakan amanah terhadap kestabilan negara mengatasi kepentingan survival politik masing-masing. – DETIK MALAYSIA
