KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melakar sejarah apabila genap berusia 100 tahun sejak penubuhannya pada 11 September 1926.
Badan induk bola sepak negara itu pada asalnya ditubuhkan sebagai Malayan Football Association (MFA) dalam satu persidangan yang berlangsung di Padang Kelab Selangor, yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Lima persatuan negeri iaitu Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura menjadi pengasas MFA selepas menyedari keperluan mewujudkan sebuah badan induk untuk mengawal selia aktiviti bola sepak domestik dan antarabangsa.
John Middleton Sime, seorang akauntan berketurunan Scotland, dipilih sebagai presiden pertama MFA pada tarikh penubuhannya.
MFA kemudian ditukar nama kepada Football Association of Malaya (FAM) pada 1932 sebelum nama Persatuan Bolasepak Malaysia digunakan secara rasmi pada 1964 selepas pembentukan Malaysia.
Perjalanan FAM sepanjang satu abad turut menyaksikan pelbagai era kegemilangan bola sepak negara.
Antara pencapaian terbesar termasuk kejayaan skuad negara meraih pingat gangsa Sukan Asia 1962, layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, meraih gangsa Sukan Asia 1974 serta melayakkan diri ke Piala Asia 1976 dan 1980.
Malaysia turut layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, namun tidak menyertai temasya berkenaan selepas kerajaan ketika itu memutuskan untuk memulaukan kejohanan tersebut.
Era 1980-an dan 1990-an pula menyaksikan perkembangan penting bola sepak domestik apabila Liga Semi-Pro diperkenalkan pada 1989 sebelum bertukar status kepada liga profesional pada 1994.
FAM turut mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja FIFA 1997.
Memasuki era milenium, FAM memperkenalkan Liga Super pada 2004 sebagai pertandingan tertinggi dalam struktur liga domestik negara selain menjadi antara empat negara tuan rumah Piala Asia AFC 2007.
Kebangkitan Harimau Malaya kemudian kembali menyerlah apabila skuad B-23 negara meraih pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos dan mempertahankannya pada edisi 2011 di Jakarta.
Skuad senior pula mencipta sejarah pada 2010 apabila menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia dalam aksi final.
Dari segi kepimpinan, Almarhum Sultan Ahmad Shah mengakhiri tempoh 30 tahun sebagai Presiden FAM pada 2014 sebelum digantikan anakandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian dipilih sebagai Presiden FAM pada 2017 sebelum Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin mencipta sejarah setahun kemudian sebagai presiden pertama daripada kalangan rakyat marhaen.
Di bawah kepimpinan Hamidin, FAM melancarkan Peta Hala Tuju F:30 pada 2018, manakala Harimau Malaya kembali ke pentas Piala Asia selepas penantian selama 43 tahun apabila beraksi pada edisi 2023 di Doha, Qatar pada Januari 2024.
Bagaimanapun, FAM melalui episod pergolakan kepimpinan selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dipilih sebagai Presiden FAM kelapan sejak 1951 pada 15 Februari 2025.
Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan selepas enam bulan menyebabkan Timbalan Presiden FAM ketika itu, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden sehingga Kongres Tahunan 2026.
Kemelut berterusan apabila semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 mengambil keputusan meletakkan jawatan secara kolektif pada 28 Januari 2026.
Sejak itu, pentadbiran FAM dikendalikan sementara oleh sekretariat yang diketuai Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
FAM dijadual mengadakan Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 pada 17 September ini bagi memilih barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif baharu untuk baki penggal 2025-2029.
Genap satu abad penubuhannya, FAM kini berada di persimpangan penting untuk membina semula pentadbiran dan membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.
Dengan kepimpinan baharu yang bakal dipilih minggu depan, harapan pastinya terarah kepada usaha mengembalikan kestabilan serta memastikan FAM terus menjadi peneraju pembangunan bola sepak Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
