KUALA LUMPUR – Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT7) 2026 melabuhkan tirai dengan pencapaian membanggakan apabila sebanyak 45 rekod kejohanan berjaya dipecahkan sepanjang temasya berlangsung.
SUKIPT7 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September lalu di Universiti Malaya serta beberapa venue terpilih di sekitar Lembah Klang menghimpunkan 8,244 atlet daripada 64 kontinjen untuk berentap dalam 30 jenis sukan.
Daripada keseluruhan rekod yang dipecahkan, 23 daripadanya membabitkan olahraga, 13 renang, tujuh memanah, manakala masing-masing satu dalam acara kayak dan menembak.
Lebih membanggakan, pencapaian dalam acara kayak dan menembak turut menyaksikan dua rekod kebangsaan baharu dilakar.
Atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli mencatat rekod kebangsaan baharu dengan masa 56.30 saat dalam acara Kayak TK1 200 meter wanita.

Catatan itu memperbaiki rekod terdahulu 57.29 saat.
Dalam acara menembak pula, pasukan 10 meter air rifle lelaki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dianggotai Muhammad Azman Mohd Ridzuan, Muhammad Iman Syahmi Mohd Azidi dan Mustaqim Hanif mengumpul 1,848.4 mata.
Catatan berkenaan mengatasi rekod kebangsaan terdahulu 1,845.9 mata yang dipegang pasukan Selangor.
Sementara itu, penaja SUKIPT7, redBus berkata, penglibatan syarikat itu dalam temasya berkenaan bertujuan menyokong komuniti atlet pelajar, khususnya dalam menangani kos perjalanan ketika menyertai pertandingan.
Ketua Pegawai Perniagaan (CBO) bagi Perniagaan Antarabangsa redBus, Krishnan Ramaswami berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyokong atlet muda dan bakat sukan Malaysia.
“Perjalanan menggunakan bas sendiri merupakan penyatu yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Inisiatif ini selari dengan falsafah kami untuk membantu mengurus keperluan perjalanan supaya atlet dan pelanggan lain dapat memberi tumpuan kepada matlamat mereka,” katanya.
Sepanjang SUKIPT7, redBus menyokong atlet pelajar menerusi komunikasi digital, tawaran perjalanan, pemberian baucar perjalanan melalui media sosial, penjenamaan acara serta aktiviti di lokasi.
SUKIPT7 turut menjadi platform mengenal pasti atlet berpotensi untuk mewakili Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-22 yang akan berlangsung di negara ini dari 10 hingga 19 Disember 2026.
Dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, penganjuran SUKIPT7 dilihat membantu memperkukuh laluan pembangunan bakat sukan negara dengan memberi pendedahan lebih luas kepada atlet muda di peringkat pertandingan berprestij.
Bertemakan ‘Mencipta Legasi Juara’, SUKIPT7 terus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan pembangunan sukan negara. – DETIK MALAYSIA
