KUALA LUMPUR – BDS Malaysia menggesa Avisena Healthcare menyemak semula keputusan membenarkan firma pelaburan Kohlberg Kravis Roberts & Co (KKR) memperoleh kepentingan besar dalam syarikat berkenaan.
BDS Malaysia dalam kenyataan hari ini mendakwa, KKR mempunyai beberapa pelaburan dan hubungan perniagaan di Israel yang menimbulkan persoalan etika terhadap keputusan Avisena menerima modal daripada firma pelaburan itu.
Menurut kenyataan tersebut, antara pelaburan KKR yang disenaraikan dalam portfolio syarikat itu setakat 8 September lalu ialah Guesty, sebuah platform pengurusan hartanah Israel.
KKR turut didakwa mempunyai pelaburan besar dalam infrastruktur teknologi dan data di Israel menerusi Global Technical Realty (GTR) dan Semperis.
Selain itu, KKR dikatakan merupakan pelabur utama dalam Artlist, platform kandungan digital yang berpangkalan di Tel Aviv.
BDS Malaysia turut mendakwa KKR merupakan pemilik majoriti Aviv Group yang seterusnya memiliki Yad2 Internet Ads Ltd, sebuah platform yang didakwa kerap menempatkan ribuan penyenaraian aktif bagi penjualan dan penyewaan hartanah di penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki serta Baitulmaqdis Timur.
“KKR terus mengekalkan pelaburan di Israel meskipun Israel terus melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
BDS Malaysia turut merujuk laporan British Medical Journal bertarikh 18 Jun 2026 dan kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 4 Ogos 2026 yang didakwa menyatakan lebih 1,000 serangan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan berlaku di Gaza antara Oktober 2023 hingga Jun 2026.
Menurut BDS Malaysia, serangan itu termasuk membabitkan 36 hospital serta lebih 1,700 petugas penjagaan kesihatan di Gaza.
Pertubuhan itu turut memetik laporan WHO bertarikh 31 Mei 2026 yang menurutnya menyatakan seramai 72,941 rakyat Palestin di Gaza telah terbunuh.
BDS Malaysia berkata, pihaknya tidak menuduh Avisena terbabit dalam jenayah Israel, selain menghormati keperluan syarikat berkenaan mendapatkan modal.
Bagaimanapun, katanya, penerimaan dana daripada entiti seperti KKR menimbulkan persoalan etika berhubung nilai Avisena sebagai sebuah syarikat penjagaan kesihatan yang komited terhadap prinsip rawatan berperikemanusiaan dan adil untuk semua.
“Kami menyeru Avisena untuk menyemak semula keputusannya menerima modal daripada KKR yang reputasinya telah terjejas oleh hubungannya dengan Israel,” katanya.
Dalam pada itu, BDS Malaysia turut menyeru orang ramai di Malaysia supaya mempertimbangkan keputusan masing-masing sebelum menggunakan kemudahan Avisena.
Kenyataan tersebut turut disokong 31 pertubuhan termasuk CENTHRA Malaysia, Viva Palestina Malaysia, JUST, Sekretariat Solidariti Palestin, HALUAN, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), MERCY Malaysia, MyCARE dan Ikram Academia. – DETIK MALAYSIA
