KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melantik Prof. Dr. Haji Kamari Kasan sebagai Pengarah dan Person-in-Charge (PiC) Jabatan Kajian Umat Islam Minoriti Wilayah Timur Asia berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan bagi tempoh lima tahun itu diumumkan Pejabat Presiden MAPIM sebagai langkah strategik memperkukuh peranan pertubuhan berkenaan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan ilmu dan kerjasama antarabangsa.
Menurut MAPIM, jabatan berkenaan akan memberi tumpuan kepada kajian berkaitan masyarakat Islam minoriti di Wilayah Timur Asia, termasuk masyarakat Uyghur di China.
Jabatan tersebut turut akan dibangunkan sebagai platform ilmu dan penyelidikan berasaskan metaversiti, meliputi kajian akademik, pertukaran kepakaran, pendidikan, kebudayaan dan dialog bagi membina persefahaman antara masyarakat.
Antara agenda utama jabatan adalah membangunkan jaringan akademik dan penyelidikan Malaysia-China selain meneroka peluang pendidikan lanjutan termasuk pengajian peringkat Sarjana dan PhD.
Ia turut memberi tumpuan kepada pertukaran belia dan kebudayaan serta kajian dalam bidang pembangunan masyarakat, ekonomi, keusahawanan, industri halal, wanita, kanak-kanak, sukan, seni dan kebudayaan.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, pelantikan Prof. Dr. Haji Kamari Kasan dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran, kepimpinan dan keupayaan beliau menerajui agenda pendidikan, penyelidikan serta kerjasama antarabangsa jabatan.
“Kami mahu jabatan ini menjadi jambatan ilmu dan persahabatan yang membina persefahaman. Fokus kita ialah mengembangkan pendidikan, penyelidikan dan jaringan akademik secara konstruktif, profesional serta memberi manfaat bersama kepada Malaysia dan China,” katanya.
Beliau berkata, segala kegiatan jabatan akan dilaksanakan berlandaskan integriti akademik, objektiviti penyelidikan, saling menghormati, sensitiviti budaya, penghormatan terhadap kedaulatan negara, pematuhan undang-undang serta prinsip manfaat bersama.
Dalam melaksanakan mandat itu, jabatan berkenaan akan memberi keutamaan kepada usaha membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi, penyelidik, masyarakat, belia dan pihak berkepentingan di Malaysia serta China.
MAPIM berharap pelantikan tersebut dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama pendidikan dan penyelidikan, selain memperkukuh hubungan akademik dan kebudayaan antara Malaysia dan China.
“MEMBINA JAMBATAN ILMU, MEMPERKUKUH PERSEFAHAMAN, MEMBINA UMMAH,” katanya. – DETIK MALAYSIA
