Murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani, Kedah mencuba sendiri aktiviti pendidikan STEM ketika mengunjungi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU – Bukan dekat, bukan juga sekadar lawatan sambil belajar apabila 37 murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani, Kedah meredah perjalanan lebih 400 kilometer ke Kuala Terengganu demi mencari pengalaman sebenar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Bersama tujuh guru pengiring, rombongan itu menjadikan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) antara lokasi utama sepanjang program tiga hari dua malam mereka di negeri ini, khususnya bagi memberi pendedahan tambahan sebelum menghadapi pertandingan STEM peringkat kebangsaan.

Guru pengiring, Sheikh Mohd Faisol Sheikh Fauzi berkata, pendekatan secara amali yang ditawarkan PSKT memberi peluang kepada murid memahami perkara yang dipelajari di dalam kelas menerusi pengalaman yang lebih dekat dengan situasi sebenar.
Menurutnya, kaedah itu amat membantu memandangkan sebahagian murid berkenaan kini sedang membuat persiapan terakhir untuk menyertai Walnut EduTech Championship (WEC 2026) di Petaling Jaya, Selangor pada 26 September ini.
“PSKT memberi kelainan berbanding pusat sains lain kerana pendekatan yang diberikan lebih kepada amali dan praktikal secara terus yang lebih sesuai untuk diterjemahkan kepada peringkat usia murid sekolah.
“Pendekatan ini memberi kelebihan kepada mereka yang kini dalam persediaan untuk pertandingan STEM peringkat kebangsaan pada minggu hadapan,” katanya yang juga guru Bahasa Cina di sekolah berkenaan.
Sheikh Mohd Faisol berkata, kemudahan yang disediakan PSKT termasuk kawasan parkir yang luas turut memudahkan urusan rombongan sekolah yang datang dengan bas sewaan khas dari Sungai Petani.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, kehadiran rombongan berkenaan ketika sesi persekolahan menunjukkan usaha sekolah berkenaan mendapatkan pendedahan STEM tidak terhad kepada lokasi yang berhampiran sahaja.
“Biasanya pada musim cuti sekolah kita menerima pelawat dari jauh, tetapi kali ini pada hari persekolahan pun ada sekolah yang sanggup datang dari Sungai Petani.
“Bagi saya, ini bukan soal PSKT mendapat kredit, sebaliknya kesungguhan mereka yang sanggup datang sejauh itu untuk mendapatkan pengalaman dan dalam masa sama membuat persediaan menghadapi pertandingan STEM,” katanya.
Rombongan berkenaan dijadual pulang ke Sungai Petani selepas menamatkan program di Kuala Terengganu sebelum meneruskan persiapan akhir bagi menyertai WEC 2026 di Petaling Jaya pada 26 September ini.
