ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dalam aksi Liga AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/27 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Perlawanan pembukaan kempen itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan masing-masing menerima layangan kad merah, selain JDT gagal memanfaatkan sepakan penalti pada penghujung permainan.
JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Oscar Arribas.
Percubaan pemain Sepanyol itu terlalu deras untuk diselamatkan penjaga gol Buriram, Neil Etheridge, meskipun sempat menyentuh bola sebelum ia menerjah jaring.
Buriram kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi Stefan Schimmer selepas menerima hantaran Darlan Mendes di dalam kotak penalti.
Schimmer yang melakukan penyudah sekali sentuh berjaya menewaskan pertahanan dan penjaga gol JDT untuk menjadikan kedudukan 1-1 sebelum kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, Buriram terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kaptennya, Kenneth Dougall, dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-57 susulan melakukan kekasaran.
Bagaimanapun, kelebihan seorang pemain gagal dimanfaatkan JDT untuk mendapatkan gol kemenangan.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-87 selepas pengadil memberikan sepakan penalti kepada JDT.
Bergson yang mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan itu bagaimanapun gagal menewaskan penjaga gol Buriram, sekali gus mengekalkan kedudukan 1-1.
Kekecewaan JDT bertambah pada masa kecederaan apabila Eddy Israfilov dilayangkan kad merah pada minit ke-90+1 selepas melakukan terjahan keras.
Keputusan itu dibuat selepas pengadil meneliti insiden berkenaan menerusi Video Assistant Referee (VAR).
Kedua-dua pasukan akhirnya terpaksa beraksi dengan 10 pemain, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu menyaksikan Buriram berada di tangga keenam carta, manakala JDT di kedudukan ketujuh. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
