KLANG – Sebuah butik pengantin hampir musnah manakala dua lagi premis terjejas dalam kebakaran di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.52 pagi.
Menurut beliau, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara tiba di lokasi pada pukul 7.02 pagi selepas menempuh jarak kira-kira tujuh kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A satu tingkat yang terbakar kira-kira 30 peratus.
“Turut terjejas sebuah kedai butik pengantin yang terbakar 98 peratus serta sebuah kedai runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IHSAN Bomba
