KUALA LUMPUR – Aspirasi Mahasiswa Madani bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi tindakan apabila mahasiswa turun padang menyantuni komuniti gelandangan di ibu kota.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) merealisasikan hasrat tersebut melalui kolaborasi bersama Food For Gelandangan (FFG), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif membantu golongan gelandangan dan miskin bandar sekitar Kuala Lumpur.
Menerusi kempen Sinar Syawal yang dilancarkan, MPP UUM berjaya mengumpulkan hampir RM2,000 sumbangan tunai serta lebih 300 helai pakaian terpakai hasil sokongan warga universiti.
Sumbangan tersebut kemudian diagihkan kepada golongan sasaran bagi meringankan beban menjelang Syawal.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, mahasiswa perlu berani keluar daripada zon selesa dan mendekati realiti sebenar masyarakat.
“Mahasiswa tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada isu sosial. Kita harus menjadi barisan hadapan yang turun menyantuni masyarakat, memahami denyut nadi mereka dan bertindak dengan solusi yang nyata,” katanya dipetik menerusi Facebook UUM.
Menurut beliau, inisiatif sedemikian bukan sahaja membantu dari sudut material, malah membentuk empati dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa.
“Isu gelandangan dan miskin bandar bukan sekadar statistik. Mereka adalah manusia yang mempunyai maruah dan harapan.
“Jika kita benar-benar memahami erti kepimpinan, maka kita perlu hadir bersama mereka, bukan sekadar berbicara tentang mereka,” ujarnya.
Kolaborasi bersama FFG turut memberi peluang kepada mahasiswa melihat sendiri cabaran kehidupan komuniti miskin bandar di tengah kemajuan metropolitan Kuala Lumpur.
Pengalaman turun padang itu menjadi platform pembelajaran bermakna yang tidak diperoleh di dalam dewan kuliah.
Inisiatif Sinar Syawal membuktikan peranan mahasiswa melangkaui batas akademik. Dengan kesedaran dan solidariti, mahasiswa mampu menjadi agen perubahan dalam memperkukuh kesejahteraan sosial masyarakat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Universiti Utara Malaysia (Official FB)
