KUALA LUMPUR – “Cukup-cukuplah, guru! Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat.”
Itu teguran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perubahan kuota bahan api di bawah program subsidi bersasar Budi95 yang didakwa menimbulkan keresahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyuarakan perkara itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Beliau dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak dinamakan secara langsung dalam ucapannya.
Menurut Ahmad Zahid, perubahan kuota bahan api yang tidak menentu menyebabkan rakyat bimbang terhadap kedudukan kewangan mereka, khususnya golongan yang perlu mengurus pelbagai komitmen bulanan.
“Bayangkan seorang bapa yang berpendapatan RM5,000. Sudah tentu dia memikirkan komitmen bulanan, bayaran rumah, pendidikan anak, kos perubatan dan pada masa sama perlu memikirkan kuota Budi yang dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila kuota dinaikkan semula apabila kerajaan bimbang kehilangan sokongan rakyat sebelum dikurangkan kembali.
“Bila takut, naik balik. Lepas itu mungkin akan ditarik balik. Kemudian apabila pilihan raya, naik balik.
“Siapa yang buat ini? Guru.
“Cukup-cukuplah, guru! Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, wahai guru,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dan parti-parti yang bekerjasama dengannya yakin mampu memberikan pentadbiran yang lebih baik kepada negara.
“Insya-Allah, kami boleh buat lebih baik daripada apa yang guru buat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan ukuran prestasi ekonomi negara tidak seharusnya hanya bergantung kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, rakyat lebih merasai pendapatan yang dibawa pulang ke rumah berbanding angka pertumbuhan ekonomi negara.
“GDP penting, tetapi rakyat tidak hidup dengan angka GDP. Mereka hidup dengan gaji yang dibawa pulang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada pendapatan boleh guna isi rumah, dengan sasaran setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus lebihan pendapatan selepas memenuhi keperluan asas untuk tujuan simpanan, pelaburan dan menikmati kehidupan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZAHID HAMIDI
