KOSOVO – Atlet negara, Rabiatul Adawiyah, muncul juara dunia kategori 48kg wanita U24 selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Muaythai Senior Dunia IFMA 2026 di Kosovo.
Kejayaan tersebut meletakkan Rabiatul dalam radar utama untuk diserapkan ke dalam persiapan skuad kebangsaan menuju Sukan SEA 2027, yang bakal menyaksikan acara Muaythai dipertandingkan di Sarawak.
Turut mencuri tumpuan ialah Marshall Jaydden, yang sekali lagi membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa apabila meraih pingat emas dalam disiplin Wai Kru lelaki di Kosovo.
Kejayaan itu melengkapkan pencapaian cemerlang Marshall di pentas antarabangsa selepas beliau turut muncul juara dalam Kejohanan Muaythai Jemputan Dunia IFMA 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Dalam kategori 54kg lelaki Ring Combat, pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025, Wassof Rumijam, membawa pulang pingat perak selepas tewas kepada juara dunia dari Turkiye, Hamza Eren, dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, Nur Arisya Sofea, yang dipilih menggantikan Mia Ghazali kerana Mia masih belum memenuhi syarat umur bagi kejohanan dunia kali ini, turut menunjukkan potensi besar.
Arisya meraih pingat perak dalam kategori 45kg wanita Ring Combat selepas tewas kepada juara dunia dari Vietnam, Mai Hoang Khanh.
Bagaimanapun, beliau berjaya menebus kekecewaan tersebut menerusi disiplin Muaythai Teknikal (Tatami) apabila muncul juara dan membawa pulang pingat emas selepas menewaskan atlet India, Ayushree Banerjee.
10 ATLET DINILAI UNTUK MISI SUKAN SEA 2027
Secara keseluruhan, Ketua Jurulatih Negara berpuas hati dengan pencapaian 10 atlet Malaysia yang dibawa ke Kosovo kali ini.
Kejohanan ini bukan sekadar memburu pingat, malah menjadi sebahagian daripada proses penilaian dan pencarian atlet terbaik mengikut kategori berat bagi membentuk skuad yang lebih kompetitif menjelang Sukan SEA 2027.
Bagaimanapun, aspek kekuatan mental perlu terus diberikan perhatian. Atlet negara perlu mempunyai keyakinan lebih tinggi apabila berdepan lawan yang memiliki reputasi sebagai juara dunia.
Status dan pencapaian pihak lawan tidak seharusnya menyebabkan atlet hilang keyakinan sebelum memasuki gelanggang. Persediaan menuju Sukan SEA 2027 bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan teknikal, tetapi juga ketahanan mental, keyakinan serta kemampuan mengendalikan tekanan di pentas antarabangsa.
3 HINGGA 4 ATLET BEREBUT SETIAP SLOT
Muaythai akan mempertandingkan 15 kategori pada Sukan SEA 2027.
Sebagai sebahagian daripada strategi pemilihan, setiap kategori akan mempunyai sekitar tiga hingga empat atlet yang akan bersaing bagi merebut satu slot terakhir untuk mewakili negara.
Pendekatan ini bertujuan mewujudkan persaingan sihat dalam skuad kebangsaan dan memastikan hanya atlet yang benar-benar berada pada tahap terbaik dari segi prestasi, kecergasan, disiplin serta kekuatan mental diberikan peluang membawa cabaran Malaysia.
Dengan Sukan SEA 2027 bakal berlangsung di Malaysia dan acara Muaythai dijadualkan berlangsung di Sarawak, beberapa atlet kelahiran Sarawak turut dijangka menjadi tonggak penting skuad negara.
Antara nama yang berada dalam perancangan ialah juara dunia tiga kali Rifdean Masdor dan Emilia Ghazali. Selain mereka, sensasi Muaythai negara Aliff Rakib dan Adam Rakib turut dijangka memperkuatkan cabaran Malaysia.
Pemilihan akhir bagaimanapun akan berdasarkan prestasi dan persaingan dalam setiap kategori sepanjang tempoh persediaan menuju Sukan SEA 2027.
Malaysia kini mempunyai tempoh untuk membentuk sebuah skuad yang bukan sekadar mampu bersaing, tetapi mempunyai kekuatan untuk memburu pingat emas apabila Muaythai beraksi di hadapan penyokong sendiri di Sarawak. – DETIK MALAYSIA
