Sokongan Geran Padanan Sukan (GPS) KBS terus memperkasa penganjuran sukan permotoran 4x4 di peringkat komuniti, sekali gus memberi ruang kepada pelumba dan masyarakat setempat untuk turut terlibat dalam Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026.
KUALA NERUS – Kerjasama pelbagai pihak termasuk sokongan Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) mengekalkan penganjuran perlumbaan 4×4 di Terengganu, meskipun kos mengendalikan acara berkenaan terus meningkat.
Presidennya, Muhammad Muzzammil Mokhetar, berkata sokongan diterima daripada agensi kerajaan, penaja kecil dan individu yang mempunyai minat terhadap sukan permotoran menjadi pelengkap kepada dana GPS dalam memastikan Terengganu 4X4 Merdeka Challenge dapat diteruskan.
Menurutnya, penganjuran perlumbaan pacuan empat roda memerlukan peruntukan yang besar kerana melibatkan pelbagai keperluan termasuk sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik serta risiko kewangan yang perlu ditanggung penganjur selepas acara berakhir.

“ Kos penganjuran saban tahun kian meningkat sama ada terkesan oleh kerana faktor ekonomi semasa mahupun keperluan berkaitan dengan penganjuran yang sememangnya kita tidak dapat untuk dielakkan seperti pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik dan lain-lain yang hadir dengan harganya tersendiri.
“Begitu juga dengan sebarang risiko melibatkan wang ringgit yang ditanggung oleh kami selepas tamat perlumbaan,” katanya.
Muhammad Muzzammil berkata, persepsi bahawa penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti memperoleh keuntungan daripada penganjuran acara, lebih-lebih lagi apabila menerima bantuan atau penajaan kerajaan, tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Ramai beranggapan menjadi penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti ini seolah-olah kami menjana keuntungan apatah lagi menerima sokongan dana atau penajaan dari kerajaan, realiti sebaliknya.
“Kami pikul tanggungjawab selaku penganjur kerana ketandusan perlumbaan di negeri Pantai Timur ini, di mana ramai dalam kalangan pelumba tidak berkemampuan untuk berlumba di negeri lain,” ujarnya.

Jelasnya, dana GPS yang diterima hanya menampung separuh daripada keseluruhan kos penganjuran, manakala baki perbelanjaan perlu ditampung melalui sumbangan kewangan atau sokongan perkhidmatan daripada agensi kerajaan tempatan, penaja kecil dan individu yang menyokong sukan permotoran.
Katanya, sokongan berkenaan turut membolehkan pihak penganjur menyediakan aktiviti tambahan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk turut terlibat sepanjang perlumbaan berlangsung.
Antara pengisian berkenaan termasuk pertandingan mewarna, ruang pameran serta penyampaian maklumat oleh agensi berkaitan kepada pengunjung dan komuniti setempat, menjadikan penganjuran tidak hanya tertumpu kepada saingan di litar.

Dalam pada itu, Muhammad Muzzammil berkata UT 4×4 turut memberi perhatian terhadap aspek dokumentasi dan ketelusan perbelanjaan bagi memastikan setiap penganjuran dapat dipertanggungjawabkan.
Katanya, laporan penganjuran yang lengkap termasuk perincian perbelanjaan itu menjadi antara nilai tambah kepada UT 4×4 untuk mengekalkan kepercayaan KBS sehingga menerima sokongan GPS bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari bermula 5 September lalu dengan menghimpunkan 56 pelumba dari seluruh negara, membabitkan tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).
Acara tahunan itu dianjurkan UT 4×4 dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal, selain mendapat sokongan KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu. – DETIK MALAYSIA
