SAN MARINO – Pelumba negara, Hakim Danish Ramli bakal memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) San Marino dari petak ke-18 selepas berdepan sesi kelayakan yang tidak menentu di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, semalam.
Pelumba AEON Credit – MT Helmets – MSI itu terlebih dahulu bangkit daripada sesi latihan bebas dalam keadaan basah sebelum mempamerkan aksi memberangsangkan pada pusingan pertama sesi kelayakan (Q1).
Dalam sesi latihan bebas kedua (FP2) sebelah pagi yang berlangsung dalam keadaan hujan, Hakim Danish mengambil masa untuk mendapatkan rentak sebelum mencatat masa terbaik 1 minit 55.345 saat pada pusingan ke-11 dan terakhirnya.
Catatan itu meletakkannya di kedudukan ke-17 keseluruhan, ketinggalan 3.083 saat daripada pelumba terpantas, Brian Uriarte.
Bagaimanapun, keadaan litar berubah pada sebelah petang apabila permukaan mula kering dengan suhu udara 26 darjah Celsius dan suhu litar mencecah 35 darjah Celsius.
Hakim Danish tampil lebih bertenaga dalam Q1 apabila mencatat masa 1:41.816 saat pada pusingan terakhirnya untuk menduduki tempat ketiga daripada 12 pelumba.
Catatan itu hanya 0.181 saat di belakang rakan sepasukan AEON Credit, Ryusei Yamanaka di tempat kedua dan 0.297 saat daripada pelumba terpantas kumpulan berkenaan, Alvaro Carpe.
Keputusan tersebut membolehkan Hakim Danish mara ke Q2 bersama Carpe, Yamanaka dan Jesus Rios.
Namun, nasib tidak menyebelahinya dalam Q2 apabila pelumba berusia itu gagal mengulangi prestasi cemerlang yang dipamerkan dalam Q1.
Selepas melakukan dua larian dan lima pusingan, Hakim Danish mencatat masa terbaik 1:42.407 saat pada pusingan terakhir, iaitu kira-kira setengah saat lebih perlahan berbanding catatan yang membawanya ke Q2.
Ketika pelumba lain terus memperbaiki catatan masing-masing dalam keadaan litar semakin kering dan mempunyai cengkaman lebih baik, masa tersebut menyaksikan Hakim Danish menamatkan Q2 di kedudukan ke-18.
Dia ketinggalan 1.795 saat daripada pelumba yang meraih petak pertama, David Almansa yang mencatat masa 1:40.612 saat.
Justeru, Hakim Danish akan memulakan perlumbaan Moto3 GP San Marino dari petak ke-18 pada perlumbaan Ahad.
Kedudukan itu pastinya mengecewakan selepas dia menunjukkan potensi untuk mencabar kelompok hadapan menerusi aksi cemerlang dalam Q1. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
