KUALA LUMPUR – Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak akan dihantar pulang ke destinasi masing-masing selepas proses forensik dan pengesahan identiti selesai.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan urusan penyerahan jenazah kepada waris dilaksanakan di Jabatan Forensik Hospital Miri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seluruh keluarga besar KKM amat berdukacita dengan tragedi yang mengorbankan lima petugas berkenaan ketika menjalankan tugas.
“Seluruh keluarga besar KKM diselubungi rasa sedih dan pilu yang amat mendalam tatkala menelusuri fasa terakhir tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lelang.
“Tumpuan KKM pada hari ini adalah untuk menyempurnakan penghormatan terakhir buat kesemua lima mangsa nahas yang terkorban semasa menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengesahan rasmi identiti mangsa dibuat menerusi analisis DNA oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
Bagi Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamarudin, Pegawai Perubatan, jenazah akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.
Sementara itu, jenazah mendiang Debra Moset, Jururawat, akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada 14 September 2026.
Bagi mendiang Alexson Adit Henry, Penolong Pegawai Perubatan, jenazah akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini, manakala urusan pengebumian dijadualkan pada 15 September 2026 di Anglican Cemetery Lambir, Miri, Sarawak.
Jenazah mendiang Jessie Paya Jok, Jururawat, turut akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini sebelum dikebumikan pada 14 September 2026 di BEM Cemetery Lambir, Miri.
Bagi Allahyarham Kapten Zainol Alif Bee Sham, Juruterbang, jenazah akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan Malaysia Airlines sebelum dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Dzulkefly merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya TUDM, yang menyediakan kemudahan logistik bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia.
“Penghargaan tulus ikhlas juga turut dipanjangkan kepada pihak PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengurusan Hospital Miri, serta seluruh agensi yang telah bertungkus-lumus tanpa penat lelah dari fasa mencari dan menyelamat (SAR) sehinggalah ke fasa pengurusan jenazah,” katanya.
Beliau berkata, KKM pada masa sama akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC), susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS untuk tujuan siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh.
“Dalam masa yang sama, bagi memastikan akses kesihatan rakyat pedalaman tidak terjejas, KKM terus memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC),” katanya.
Terdahulu, semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara bagi membolehkan semakan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan operasi susulan nahas berkenaan. Bagaimanapun, perkhidmatan MEDEVAC bagi kes kecemasan diteruskan menerusi kerjasama KKM dan JBPM.
Mengakhiri kenyataan, Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, kiriman doa dan kasih sayang yang diberikan kepada petugas kesihatan serta keluarga mangsa.
“Keprihatinan, kiriman doa yang tidak putus-putus, serta kasih sayang yang dizahirkan oleh rakyat kepada petugas kesihatan kita memberikan suntikan kekuatan yang amat bermakna buat ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di KKM dalam mendepani saat yang amat mencabar ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
