Luminite Walk berkonsepkan larian santai bertemakan 'Glow in the Dark' berjaya menarik penyertaan seramai 1538 peserta yang telah berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu pada 28 Ogos 2026.
KUALA TERENGGANU – Suasana di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) lebih meriah daripada biasa apabila keluarga bersama anak-anak mengambil peluang cuti persekolahan menyertai larian santai āGlow in the Darkā sempena Festival Sains, Teknologi, Inovasi dan Matematik Terengganu (Festival STEMT) 2026.
Acara larian pada waktu malam itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 1,538 peserta, termasuk ibu bapa dan penjaga yang hadir bersama keluarga masing-masing.

Bagi Nik Azuraida Nik Jusoh, 46, larian berkenaan bukan semata-mata untuk mengejar masa atau mendapatkan medal, sebaliknya peluang melakukan aktiviti bersama anak-anak dalam suasana berbeza.
“Perasaan teruja itu sudah pasti apatah lagi ianya satu pengalaman baru buat kami sekeluarga untuk menyertai acara larian seperti ini pada waktu malam. Seharusnya program seperti ini diteruskan pada edisi seterusnya seperti mana diadakan ketika ini.
“Jarak dan medal bukan faktor untuk kami ke sini, ianya lebih untuk memberi ruang untuk kami beraktiviti bersama keluarga dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

Sementara itu, Tengku Aminuddin Tengku Sulong yang bekerja di sektor swasta di ibu negara berkata, kepulangannya ke kampung sempena cuti persekolahan membuka peluang untuk beliau menyertai acara berkenaan bersama rakan-rakan.
“Kebetulan saya pulang bercuti ke kampung dan mengetahui program ini maka saya hadir bersama-sama dengan rakan-rakan. Cukup teruja kerana tidak sangka di kawasan jauh dari bandar ada penganjuran seperti ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata sambutan diterima terhadap larian berkenaan menunjukkan aktiviti santai mampu menjadi salah satu pendekatan untuk menarik masyarakat mendekati pendidikan STEM.
“Walaupun acara larian ini hanya acara sampingan berskala kecil bagi Festival STEMT 2026, maklum balas positif yang diterima khususnya ibu bapa mahupun penjaga yang hadir dengan anak-anak mereka.
“Kami tidak menolak untuk penganjuran yang lebih baik pada edisi seterusnya nanti. Ianya secara tidak langsung menjadi tambah nilai untuk merapatkan jurang pendidikan berkaitan sains yang ada di sini,” katanya.
Festival STEMT 2026 berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 Ogos di PSKT dengan pelbagai aktiviti berkaitan sains, teknologi, inovasi dan matematik, selain membabitkan pemain industri berkaitan.
