KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar bantuan kemanusiaan kepada Nepal susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang mengorbankan nyawa serta menjejaskan kehidupan rakyat negara itu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan tersebut mencerminkan tanggungjawab kemanusiaan Malaysia yang melangkaui sempadan negara, agama dan bangsa.
Menurut beliau, tindakan pantas Malaysia amat bermakna ketika rakyat Nepal sedang berdepan kehilangan nyawa, kemusnahan kediaman, gangguan infrastruktur serta kesukaran mendapatkan keperluan asas.
“MAPIM melihat keputusan ini sebagai manifestasi tanggungjawab kemanusiaan Malaysia yang melampaui sempadan negara, agama dan bangsa.
“MAPIM percaya kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kekayaan dan kemajuan ekonominya, tetapi juga melalui kesediaannya membantu manusia yang sedang berdepan musibah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan yang boleh dimanfaatkan bagi membantu Nepal.
Katanya, bantuan tersebut boleh merangkumi kepakaran penyelamatan, perubatan, logistik, bekalan makanan, air bersih, perlindungan sementara dan sokongan pemulihan pascabencana.
Dalam pada itu, MAPIM menggesa supaya bantuan yang dihantar diselaraskan secara rapat dengan kerajaan Nepal dan agensi kemanusiaan tempatan bagi memastikan ia sampai kepada kawasan paling terjejas serta golongan yang paling memerlukan.
MAPIM turut menyeru rakyat Malaysia menunjukkan solidariti kemanusiaan kepada rakyat Nepal menerusi sumbangan dan sokongan kepada usaha bantuan yang dilaksanakan organisasi kemanusiaan berwibawa.
“Ketika Malaysia sendiri menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, solidariti kepada rakyat Nepal yang sedang berduka mempunyai makna yang sangat mendalam.
“Kita merayakan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi kita juga membuktikan makna kemerdekaan apabila kita menghulurkan tangan kepada manusia yang sedang menderita,” katanya.
MAPIM turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta tindakan membantu Nepal.
Mohd Azmi pada masa sama menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta solidariti kepada seluruh rakyat Nepal yang sedang menghadapi bencana tersebut.
“Semoga semua mangsa yang terjejas diberikan kekuatan, keselamatan dan perlindungan, manakala usaha menyelamat dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
“Malaysia bersama Nepal. Kemanusiaan merentasi sempadan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
