KUALA LUMPUR – Selepas genap dua tahun menjalani tempoh penggantungan sebagai pengadil hoki Malaysia dan antarabangsa, Nazmi Kamarudin masih menunggu jawapan terhadap rayuan yang dikemukakannya.
Nazmi berkata, rayuan berkenaan telah dibuat menerusi saluran yang sepatutnya, selain beliau turut memberikan penjelasan terhadap surat yang dikeluarkan oleh MHCUC sejak Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini masih tiada respons diberikan terhadap penjelasan dan rayuan tersebut.
“Saya tidak meminta layanan istimewa atau keputusan yang memihak kepada saya. Saya cuma mengharapkan satu proses yang adil, telus dan profesional dan sekurang-kurangnya satu jawapan terhadap rayuan yang telah dikemukakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, perkara itu bukan hanya melibatkan dirinya, malah beberapa rakan pengadil yang telah tamat tempoh penggantungan turut masih belum diberikan peluang untuk kembali mengadili kejohanan seperti SUKMA, Razak Cup dan Liga Remaja.
“Malah, kejohanan antara daerah pun masih tidak diberikan kepada mereka.
“Apa yang lebih menimbulkan persoalan, daripada rakan-rakan yang telah tamat tempoh penggantungan, hanya seorang sahaja yang diberikan peluang untuk kembali mengadili.
“Persoalannya, bagaimana dengan yang lain?” katanya.
Nazmi mempersoalkan kewajaran pengadil yang telah selesai menjalani hukuman tetapi masih tidak diberikan peluang untuk kembali ke padang.
Katanya, sekiranya terdapat kriteria atau penilaian tertentu bagi membolehkan seseorang pengadil kembali mengadili, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas supaya semua pihak mengetahui syarat yang perlu dipenuhi.
“Saya tidak mempertikaikan mengapa seorang itu diberikan peluang. Yang saya persoalkan ialah mengapa peluang yang sama tidak diberikan kepada yang lain?
“Ini bukan soal memilih siapa yang bagus atau siapa yang tidak bagus. Ini soal konsistensi, keadilan dan ketelusan dalam proses,” katanya.
Beliau berkata, pengadil yang telah selesai menjalani tempoh hukuman sepatutnya diberikan ruang untuk kembali secara berperingkat, termasuk mengadili kejohanan bersesuaian sebelum prestasi mereka dinilai.
Katanya, tindakan memberikan peluang kepada seorang pengadil sedangkan yang lain terus diketepikan tanpa penjelasan jelas boleh menimbulkan persoalan dan persepsi mengenai layanan berbeza.
“Hukuman sepatutnya mempunyai titik noktah.
“Jika seseorang telah dihukum selama tempoh tertentu dan telah selesai menjalani hukuman tersebut, jangan biarkan hukuman itu berterusan dalam bentuk yang lain iaitu tidak diberikan peluang, tidak dipanggil dan tidak diberikan ruang untuk kembali menyumbang,” katanya.
Dalam pada itu, Nazmi turut meluahkan rasa kecewa terhadap hubungan sesama pengadil yang disifatkannya semakin renggang susulan perkara berkenaan.
Menurutnya, beliau tidak menyalahkan mana-mana individu kerana setiap orang mempunyai pilihan dan pertimbangan masing-masing.
Namun, katanya, sebagai rakan seperjuangan yang pernah berkongsi tekanan, pengalaman dan suka duka di padang, keadaan itu tetap dirasakan.
“Saya tidak mengharapkan semua orang untuk bersuara atau menyebelahi saya. Saya cuma berharap masih ada sedikit rasa kebersamaan dan solidariti sesama pengadil.
“Kerana kita semua pernah menggunakan whistle yang sama. Kita semua pernah berdiri di tengah padang yang sama,” katanya.
Nazmi berkata, beliau masih menyayangi sukan hoki, menghormati bidang pengadilan dan menghargai pengalaman serta persahabatan yang dibina sepanjang perjalanan sebagai pengadil.
“Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Cuma saya akui, saya sedih.
“Dua tahun ini bukan sekadar mengajar saya tentang penggantungan. Ia mengajar saya siapa yang benar-benar berdiri bersama, siapa yang memilih untuk berdiam diri dan siapa yang hanya ada ketika keadaan mudah.
“Two years and counting. Still waiting for an answer. Still respecting the process,” katanya. – DETIK MALAYSIA
