KELANA JAYA - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini memasuki tempoh genting apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menetapkan tempoh 10 hari untuk badan induk itu mengemukakan hujahan penuh bagi rayuan terhadap hukuman FIFA.
Rayuan tersebut membabitkan tindakan disiplin yang dikenakan ke atas FAM serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya, yang sebelum ini mencetuskan perhatian besar dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
FAM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menyerahkan Statement of Appeal kepada CAS sekali gus membuka fasa baharu dalam proses rayuan tersebut.
Difahamkan, pasukan guaman FAM perlu menyiapkan dan mengemukakan dokumen hujahan lengkap selewat-lewatnya pada 18 Disember 2025, iaitu baki kira-kira 10 hari dari sekarang.
Langkah itu mempercepatkan proses perundangan berkaitan, termasuk pengumpulan dokumen sokongan, keterangan berkaitan serta penyediaan hujahan terperinci sebelum kes dibawa ke peringkat seterusnya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya bertekad memastikan segala proses berlangsung secara profesional selaras dengan prosedur antarabangsa.
“FAM komited melalui proses ini secara profesional, telus dan mematuhi semua tatacara perundangan yang ditetapkan,” katanya.
FAM turut memberi jaminan bahawa perkembangan berkaitan rayuan tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FAM