KUALA LUMPUR – Rakan media disifatkan sebagai nadi utama dalam menyokong pelaksanaan agenda kebajikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), sekali gus membantu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi dan tanggungjawab institusi tersebut.
Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, laporan berita, dialog serta liputan media memberi gambaran menyeluruh terhadap usaha MAIWP dalam menguruskan zakat, bantuan sosial dan pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat.
Beliau menjelaskan, media menjadi jambatan komunikasi yang menghubungkan agensi itu dengan masyarakat, seterusnya memberi penerangan jelas mengenai hala tuju pembangunan ummah.
Mengulas mengenai kutipan zakat, beliau memaklumkan MAIWP kini menerima sumbangan daripada dua kelompok utama, iaitu ‘old money’ dan ‘new money’.
“‘Old money’ merujuk penyumbang tradisi seperti saudagar lama termasuk yang berpusat di Pulau Pinang. ‘New money’ pula datang daripada industri baharu merangkumi pemilik pusat tuisyen, telekomunikasi, ekonomi digital serta penggiat aset kripto.
“Malah MAIWP turut meluluskan pembayaran zakat menggunakan aset digital seperti bitcoin,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi MAIWP Bersama Media di Sunway Putra Hotel, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, tanggungjawab utama MAIWP bukan hanya mengutip zakat daripada kedua-dua kelompok itu, tetapi memastikan agihan tepat sampai kepada kelompok ‘no money’, iaitu golongan yang berada dalam kesempitan hidup.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kejayaan Projek Bangkit yang dilihat sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi golongan asnaf.
“Komitmen peserta serta sokongan rakan strategik dalam Projek Bangkit amat membanggakan dan membuktikan sinergi antara MAIWP, industri dan media dapat melahirkan masyarakat yang lebih makmur,” katanya.
Syed Kamarulzaman merakamkan penghargaan kepada rakan media atas liputan, analisis serta input profesional yang diberikan sepanjang hubungan kerjasama yang terjalin selama ini. – DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan