KUALA TERENGGANU – Pengurusan Koperasi Homestay Terengganu (KHTK) bersama Setiausaha Terengganu Homestay Association (TKHA) mengadakan mesyuarat pertama bagi persiapan FAM Trip Terengganu Darul Iman 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 29 Oktober ini.
Mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pengurusan Taman Tamadun Islam itu turut membincangkan perancangan promosi pelancongan Terengganu sempena Visit Malaysia 2027 (VM2027) dan Visit Truly Terengganu 2027.
Menurut pihak pengurusan, peruntukan Geran GAMELAN yang diterima adalah agak kecil, namun program berkenaan tetap akan diteruskan dengan perbelanjaan minimum bagi memastikan objektif promosi pelancongan dapat dicapai.
FAM Trip itu turut dijangka disertai rakan strategik dari beberapa negara termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura.
Antara yang akan mengambil bahagian ialah tiga wakil Sumatera Barat Homestay, lima wakil media Sumatera Barat, tiga wakil Universiti Trisakti Jakarta, lima wakil Exco Indonesia Homestay serta dua konsultan dari Jawa Timur.
Selain itu, penyertaan turut membabitkan tiga wakil media Universiti Jawa Timur, tiga wakil media Selatan Thailand, dua ejen pelancongan Selatan Thailand, dua ejen pelancongan Singapura, seorang ejen pelancongan Yogyakarta dan lima YouTuber atau influencer dari Makassar.
Turut serta ialah lima wakil media Institut Agama Islam Sulawesi Timur serta dua TikToker dari Medan.
Sepanjang program, para peserta akan dibawa ke beberapa lokasi tarikan pelancongan dan produk budaya tempatan termasuk sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) serta majlis pembukaan di Quinara Al Safir Resort.
Antara lokasi lain yang dirancang ialah Taman Tamadun Islam, River Cruise, Monument Park, Muzium dan Kampung Budaya Terengganu serta Noor Arfa Craft Centre bagi memberi pengalaman berkaitan warisan budaya negeri.
Peserta turut dijadualkan mengunjungi Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Warisan Sari Gamelan serta menjalani aktiviti community immersion di Homestay Teluk Ketapang.
Program berkenaan turut mengetengahkan produk tempatan seperti keropok lekor, batik tradisional serta sajian makan malam bersama komuniti.
Selain itu, aktiviti Pasar Payang Challenge dan pengalaman kulinari tradisional di Kampung Laut turut dimasukkan dalam pengisian FAM Trip.
Program tersebut diharap dapat membantu melonjakkan kemasukan pelancong antarabangsa ke Terengganu menerusi promosi secara lebih meluas bersama rakan strategik luar negara, meskipun dilaksanakan dengan peruntukan yang terhad. – DETIK MALAYSIA
