PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa tiada perkembangan baharu berhubung penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu dan tujuh pemain negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya masih menunggu dokumen penghakiman penuh daripada Jawatankuasa Disiplin FIFA sebelum memulakan proses rayuan rasmi.
“Buat masa ini, FAM masih belum menerima penghakiman penuh daripada FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen lengkap diperoleh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Badan induk itu turut menegaskan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya.
Keputusan FIFA minggu lalu termasuk mengenakan denda serta penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain naturalisasi kerana didakwa melanggar Kod Disiplin FIFA.
Kes tersebut telah menarik perhatian besar di peringkat tempatan dan serantau, dengan FAM kini bersiap sedia mencabar keputusan itu melalui saluran perundangan yang sah. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - FAM