Sindiket ‘makanan Bangla’ guna pasport palsu pemeriksaan kesihatan tumpas

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket pemalsuan pasport yang menggunakan istilah kod Makanan Bangla bagi tujuan penghantaran dokumen palsu akhirnya terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.

Serbuan menerusi Ops Serkap itu dilakukan serentak di beberapa lokasi sekitar Kepong, Cheras, Pudu dan Puchong bermula pukul 6 petang.

Operasi terbabit disertai Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) bersama 20 pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, risikan selama hampir tiga bulan membawa kepada penumpasan sindiket yang dipercayai aktif sejak lebih setahun lalu.

“Hasil pemeriksaan, enam individu diperiksa termasuk tiga lelaki warga asing dan tiga rakyat tempatan. Tiga lelaki warga Bangladesh berusia 21 hingga 40 tahun ditahan, manakala dua wanita serta seorang lelaki tempatan diberikan saman saksi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas 30 pasport disyaki palsu yang sudah siap untuk diedarkan. Tangkapan membabitkan 24 pasport Bangladesh, lima pasport Indonesia, satu pasport Myanmar serta 14 borang Fomema.

Selain itu, pasukan operasi menemui sebuah komputer riba, dua mesin pencetak serta peralatan kecil yang digunakan untuk menghasilkan pasport berkenaan.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah menghasilkan pasport palsu bagi tujuan penipuan pemeriksaan kesihatan yang merupakan syarat wajib untuk pelanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Ketua sindiket akan menghantar maklumat pekerja syarikat beserta gambar kepada ahli sindiket untuk mencetak pasport palsu sebelum ia dibawa ke klinik tertentu mengikut borang Fomema.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa, pasport itu dibungkus dalam bekas polisterin dengan tanda panggilan ‘Makanan Bangla’ dan dihantar menggunakan khidmat penghantar makanan seperti Grab atau Lalamove,” jelasnya.

Katanya, sindiket mengenakan caj antara RM350 hingga RM450 bagi setiap pekerja yang menggunakan khidmat tersebut.

Kesalahan dikenal pasti termasuk pemalsuan dokumen, penyamaran, tinggal lebih masa serta tiada dokumen perjalanan sah.

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Jabatan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan imigresen dan pemalsuan dokumen,” katanya. - DETIK MALAYSIA