KUCHING – Tuan rumah Sarawak meletakkan harapan tinggi terhadap acara tenpin boling bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lapan pingat emas pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXII Sarawak 2025 yang membuka tirai secara rasmi esok.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengalaman serta kepimpinan tiga pemain kebangsaan iaitu Siw Sing Hie, Siong Mui Hong dan Agan Ballang Kapong diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan kontinjen negeri itu.
Ketiga-tiga atlet berkenaan turut dipilih mewakili Malaysia ke Deaflympics 2025 di Tokyo bulan depan sekali gus menjadi sandaran utama memburu emas di gelanggang sendiri.
Sarawak tampil dengan kekuatan 73 anggota termasuk 47 atlet dan 26 pegawai serta turut memburu kedudukan podium dalam acara olahraga, badminton, orienteering dan futsal.
“Harapan kita adalah untuk melihat atlet Sarawak mempamerkan prestasi terbaik mereka. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam persiapan, semangat serta kesatuan yang ditunjukkan amat luar biasa. Dengan iltizam ini, saya percaya sasaran mampu dicapai,” katanya.
Sarawak memiliki rekod cemerlang dalam sejarah penganjuran SOPMA apabila meraih enam emas, dua perak dan enam gangsa untuk menduduki tempat kedua keseluruhan pada edisi 2023 di Kuala Lumpur.
Pada edisi 2018 di Perak, Sarawak turut membawa pulang enam emas manakala ketika menjadi tuan rumah pada 2016 di Kuching, kontinjen itu berada di tangga ketiga dengan jumlah sama.
Majlis perasmian SOPMA 2025 akan berlangsung esok malam di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching dan dijangka disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sukan yang berlangsung hingga 6 Oktober ini menghimpunkan hampir 800 peserta termasuk 610 atlet dari seluruh negara dengan acara dipertandingkan meliputi olahraga, badminton, futsal, tenpin boling dan orienteering yang berpusat di Kuching serta Samarahan. - DETIK MALAYSIA