AUSTRALIA – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli gagal melayakkan diri ke pusingan kedua (Q2) selepas menamatkan sesi kelayakan pertama (Q1) Grand Prix (GP) Australia Moto3 di tempat kesembilan di Litar Phillip Island, hari ini.
Hakim yang mewakili pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSi mencatat masa terpantas 1 minit 37.169 saat (s), namun terlepas peluang ke Q2 dengan perbezaan 0.786s.
Pelumba berusia 19 tahun itu menunjukkan peningkatan apabila memperbaiki catatan terbaiknya dalam sesi latihan Jumaat sebanyak 0.605s.
Bagaimanapun, kedudukan kesembilan tidak mencukupi untuk membolehkannya menyertai empat pelumba terpantas Q1 ke pusingan seterusnya.
Guido Pini (Leopard Racing) muncul pelumba terpantas Q1, diikuti Casey O’Gorman (SIC58 Squadra Corse), Eddie O’Shea (GRYD Racing) dan Veda Ega Pratama (Honda Team Asia).
Pratama kemudian memanfaatkan peluang di Q2 untuk meraih petak utama sulungnya dalam kelas Moto3 menerusi catatan 1:35.299s.
Pelumba Indonesia itu mengatasi juara dunia Moto3 yang baharu dinobatkan, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team), dengan kelebihan 0.021s, manakala Joel Kelso (GRYD Racing) di tempat ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Hakim dijadualkan memulakan perlumbaan dari petak ke-23 pada Ahad.
Pemenang GP Republik Czech itu kini menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam kejuaraan Moto3 dan memburu kedudukan lima terbaik musim ini.
Perlumbaan GP Australia dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi waktu Malaysia esok. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK RAcing
