KUALA LUMPUR – Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) menyambut baik perkembangan penangguhan bayaran balik pinjaman oleh institusi perbankan kepada mangsa banjir Nepal-Tibet, termasuk rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi berkenaan.
Penyelaras dan jurucakap MASFIH, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) itu merupakan perkembangan positif buat keluarga mangsa yang masih berdepan ketidakpastian nasib orang tersayang serta beban kewangan.
Menurutnya, BNM turut mempertimbangkan bantuan tambahan termasuk pengecualian fi dan caj tertentu, perlindungan aset serta deposit pelanggan dan kemudahan tuntutan insurans serta takaful, bergantung pada keadaan setiap keluarga.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penangguhan bayaran balik yang dimaklumkan setakat ini melibatkan komitmen kewangan individu yang masih hilang dan belum disahkan meliputi pinjaman berasingan atas nama waris.
Katanya, perbezaan itu penting kerana waris masih perlu membayar komitmen sendiri seperti pinjaman perumahan, pembiayaan kenderaan dan pinjaman peribadi ketika menguruskan kesan kehilangan ahli keluarga.
“Ramai waris terus menanggung komitmen kewangan masing-masing sambil berdepan cabaran emosi dan urusan keluarga susulan kehilangan orang tersayang,” menurut kenyataan MASFIH semalam.
Dalam pada itu, Manivannan berkata, usaha berterusan mengemukakan tuntutan kepada kerajaan, BNM dan institusi berkaitan mula menunjukkan perkembangan positif.
Beliau yang juga abang kepada rakyat Malaysia yang masih hilang, Komathi Rethinam, telah menggerakkan usaha advokasi sejak tragedi itu berlaku pada 26 Ogos lalu bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan, kewangan, perundangan dan diplomatik untuk keluarga terjejas.
MASFIH turut memaklumkan kesemua 54 keluarga mangsa yang masih hilang bergerak secara kolektif bagi menyuarakan tuntutan serta mendapatkan bantuan yang adil dan konsisten.
Organisasi itu terus menggesa pelaksanaan rangka bantuan kewangan selama enam bulan, termasuk pertimbangan pelepasan caj faedah atau keuntungan tambahan, penalti dan caj berkaitan, selain perlindungan aset serta bantuan insurans dan takaful.
Selain itu, MASFIH berharap cadangan bantuan kemanusiaan sekali bayar daripada kerajaan Persekutuan dan penubuhan mekanisme penyelarasan kebangsaan dapat diterjemahkan kepada bantuan yang nyata.
Menurut kenyataan itu, 54 rakyat Malaysia yang masih hilang terdiri daripada latar belakang etnik dan agama berbeza, justeru keluarga mereka wajar diberikan pertimbangan sama rata, dengan penuh ihsan dan bermaruah.
MASFIH menegaskan sokongan kewangan tidak mampu menghapuskan kesedihan keluarga yang masih tidak mengetahui nasib orang tersayang, namun bantuan sewajarnya dapat meringankan beban yang ditanggung.
Organisasi itu akan terus bekerjasama dengan kerajaan, BNM dan institusi kewangan bagi mendapatkan penjelasan serta sokongan praktikal sehingga status orang tersayang mereka dapat dipastikan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI
