Abdul Halim Kader
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan pengadil dan pegawai teknikal antarabangsa perlu mengutamakan profesionalisme serta semangat perpaduan sepanjang TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026 berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurutnya, semua pengadil dan pegawai teknikal yang terpilih bukan individu biasa, sebaliknya kelompok elit yang dipilih berdasarkan pengalaman, disiplin, profesionalisme dan kredibiliti dalam arena sepak takraw antarabangsa.
“Anda bukan lagi individu biasa dalam sepak takraw. Anda adalah sebahagian daripada komuniti teknikal elit yang diamanahkan untuk menjaga imej dan standard sepak takraw antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi 1 Mesyuarat dan Bengkel Pengadil serta International Technical Officials (ITO) ISTAF yang menghimpunkan pegawai teknikal daripada negara anggota ASTAF dan ISTAF.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah kejohanan antarabangsa bukan hanya bergantung kepada atlet dan penganjur, malah dipengaruhi kualiti pengadilan sepanjang pertandingan berlangsung.
Katanya, setiap pengadil perlu sentiasa mempamerkan profesionalisme, keyakinan ketika membuat keputusan, pemahaman mendalam terhadap peraturan serta kawalan emosi ketika mengendalikan perlawanan.
“Pengadilan yang lemah atau tidak konsisten boleh menjejaskan imej dan kredibiliti kejohanan secara keseluruhan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Halim turut mengingatkan kepentingan kerjasama berpasukan melibatkan pegawai daripada pelbagai negara sepanjang kejohanan berlangsung.
“Sepanjang kejohanan ini, kita adalah satu pasukan di bawah ISTAF dan ASTAF. Tiada ruang untuk ego, sentimen kenegerian atau konflik dalaman,” katanya.
Beliau turut menjelaskan ITO memainkan peranan penting dalam aspek teknikal termasuk prosedur sebelum dan selepas perlawanan, operasi teknikal, dokumentasi, disiplin serta penyelarasan bersama pasukan pengadil.
Tambah beliau, penampilan kemas dan profesional juga perlu diberi perhatian kerana ia mencerminkan disiplin, keyakinan dan imej organisasi di pentas antarabangsa.
Pada akhir ucapan, Halim menyeru semua pengadil dan pegawai teknikal terus meningkatkan standard pengadilan melalui perkongsian ilmu, perbincangan aktif dan pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Pengadil yang baik ialah mereka yang tidak pernah berhenti belajar dan sentiasa memperbaiki kualiti diri,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF