KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengadakan mesyuarat koordinasi strategik bersama ASTRO Malaysia selaku penyiar rasmi TM ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bagi memastikan kejohanan itu dipersembahkan dengan standard bertaraf dunia.
Mesyuarat berprofil tinggi itu memberi fokus terhadap aspek kualiti siaran, koordinasi teknikal dan standard persembahan antarabangsa menjelang sepak mula kejohanan di ibu negara tahun depan.
ISTAF turut mengesahkan semua maklumat rasmi melibatkan pemain, pasukan, nombor jersi, pengadil dan pegawai teknikal akan disalurkan kepada ASTRO bagi memastikan ketepatan grafik, ulasan dan penyiaran sepanjang kejohanan.
Presiden ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, perhatian khusus turut diberikan terhadap sebutan nama pemain dan paparan identiti rasmi mengikut rekod ISTAF.
“Sepak takraw layak menerima standard persembahan bertaraf dunia. Ketepatan, profesionalisme dan penghormatan terhadap pemain, pengadil serta negara bertanding amat penting demi imej sukan ini,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara ISTAF dan ASTRO akan mewujudkan situasi menang-menang dalam usaha mempromosikan sepak takraw ke peringkat antarabangsa dengan lebih meluas.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju menjadikan slogan global ‘WE ARE SEPAKTAKRAW’ sebagai identiti utama sepanjang siaran kejohanan, rakaman perlawanan, video promosi serta kandungan media digital Piala Dunia nanti.
ASTRO juga dijemput membuat liputan khas Mesyuarat Pengurus Pasukan yang bakal menjadi platform penyelarasan akhir dan taklimat teknikal melibatkan semua negara bertanding.
Wakil ASTRO memaklumkan unjuran awal menunjukkan TM ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw 2026 berpotensi mencatat rating televisyen sukan tertinggi di Malaysia selepas bola sepak, sekali gus membuktikan peningkatan populariti dan nilai komersial sukan tradisi itu.
TM ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dilihat bukan sahaja sebagai kejohanan sukan antarabangsa utama, malah platform global untuk mengangkat penjenamaan, profesionalisme dan masa depan sepak takraw di seluruh dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asian Sepaktakraw Federation – ASTAF