KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa seluruh rakyat Malaysia bakal menikmati harga baharu RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September ini.
Menurut beliau, pembelian bahan api tersebut boleh dilakukan menggunakan MyKad di kaunter dan pam, selain menerusi aplikasi stesen minyak.
Menariknya, manfaat itu akan diberikan lebih awal kepada anggota polis dan tentera mulai 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menikmatinya sehari kemudian iaitu pada 28 September.
“Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu.
“Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan Madani dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.
Pengumuman itu sekali gus dilihat sebagai inisiatif kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan mengukuhkan lagi semangat Malaysia Madani dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. - DETIK MALAYSIA
