MILAN – Kelab gergasi Serie A, Inter Milan, dilaporkan merancang langkah berani pada jendela perpindahan Januari dengan menyasarkan bek Al-Hilal, Joao Cancelo, sebagai antara pemain utama untuk memperkukuh pasukan.
Inter yang tampil konsisten pada separuh pertama saingan Serie A musim 2025/2026 kini mendahului carta liga di bawah kendalian Cristian Chivu. Namun, persaingan sengit memburu kejuaraan Scudetto memaksa pengurusan Nerazzurri mencari tambahan kekuatan, khususnya di bahagian pertahanan.
Pakar perpindahan terkenal, Fabrizio Romano, melaporkan Cancelo muncul sebagai sasaran utama Inter susulan kemampuan serba boleh pemain antarabangsa Portugal itu.
Cancelo mampu beraksi di kedua-dua posisi bek sayap kiri dan kanan, selain berupaya diturunkan sebagai bek tengah, pemain tengah bertahan atau pemain sayap ketika diperlukan. Fleksibiliti tersebut dilihat seiring dengan falsafah taktikal yang ingin diterapkan Chivu musim ini.
Menurut laporan sama, Inter bukan sekadar menyatakan minat, malah sudah memulakan rundingan awal dengan wakil pemain berusia 31 tahun itu. Kontak awal dikatakan memberi isyarat positif apabila Cancelo terbuka untuk kembali beraksi di pentas Serie A.
Situasi itu turut dipengaruhi faktor sejarah, apabila Inter bukan kelab asing buat Cancelo. Beliau pernah menyarung jersi Nerazzurri secara pinjaman daripada Valencia pada musim 2017 dan meninggalkan impak positif sepanjang tempoh tersebut.
Sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan, kehadiran Cancelo dijangka memberi suntikan pengalaman serta kestabilan tambahan kepada Inter dalam misi menamatkan musim sebagai juara. - DETIK MALAYSIA
