KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini bagi membincangkan kerjasama strategik dalam memperkukuh budaya integriti serta usaha pencegahan rasuah.
Delegasi MCW diketuai Setiausaha Agungnya, Rosdi Amir bersama Naib Presiden 1, Anwar Sidek Yaruddin, Naib Presiden 2, Muruga Rajan, Penasihat Emeritus, Dr. Yahya Mat Hassan, Ahli Jawatankuasa, Balakrishnan serta Setiausaha Kerja, Muhamad Rusydi Jaafar.
Kunjungan itu disambut Pengarah JIPS, DCP Datuk Aida Abdul Hamid bersama Timbalan Pengarah Integriti JIPS, DCP Thaipul Bahri Mokhtar serta barisan pegawai kanan jabatan berkenaan.
Dalam sesi perbincangan, Rosdi memperkenalkan peranan dan inisiatif MCW dalam memperkukuh agenda integriti serta membudayakan pencegahan rasuah dalam kalangan masyarakat.
JIPS turut mencadangkan supaya MCW membantu meningkatkan kesedaran dan persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan, termasuk menjadi medium pendidikan berkaitan integriti PDRM serta saluran aduan rasmi yang disediakan.
Menurut JIPS, masyarakat perlu mengetahui saluran yang betul bagi menyalurkan aduan berkaitan salah laku integriti anggota polis selain mendapatkan maklumat sahih mengenai fungsi jabatan itu.
MCW turut dilihat berpotensi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai supaya setiap aduan berkaitan integriti disalurkan melalui saluran rasmi yang bersesuaian.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan kajian perbandingan melibatkan Malaysia dengan Singapura, Indonesia dan Thailand dari aspek pendapatan, kewangan serta kos sara hidup.
Pendekatan berasaskan data itu disifatkan penting bagi membantu masyarakat memahami realiti ekonomi secara lebih objektif sekali gus mengelakkan persepsi yang tidak berasaskan fakta.
Antara ruang kerjasama yang dikenal pasti ialah pendidikan integriti kepada masyarakat, kempen kesedaran antirasuah, penyampaian maklumat berkaitan saluran aduan rasmi, penghasilan kandungan pendidikan serta pelaksanaan program bersama.
MCW menyifatkan kunjungan hormat itu sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan strategik dengan JIPS bagi membudayakan integriti serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kepolisan.
Pada masa sama, pertubuhan itu menegaskan komitmennya untuk membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan JIPS dalam memastikan pematuhan standard dan integriti dalam pasukan PDRM. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MCW
