KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai satu detik penting dalam memperkukuhkan prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kedudukan seseorang sama ada bekas Perdana Menteri, menteri, penjawat awam atau individu biasa tidak boleh menjadi penghalang kepada proses keadilan.
“Pendakwaan ini merupakan satu lagi detik penting dalam usaha memperkukuhkan prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia. Tiada siapa mengatasi undang-undang dan integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi asas kepada masa depan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
MCW mengulas laporan bahawa Ismail Sabri dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan siasatan berhubung pengisytiharan aset.
Pada masa sama, Jais berkata, setiap individu yang didakwa berhak menikmati prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan sebarang spekulasi, prejudis atau perbicaraan melalui media yang boleh menjejaskan proses kehakiman.
MCW turut menggesa SPRM meneruskan siasatan secara profesional, bebas dan tanpa campur tangan, manakala Jabatan Peguam Negara memastikan pendakwaan dibuat hanya berdasarkan bukti yang kukuh.
Selain itu, badan pemantau antirasuah itu mahu mahkamah diberikan ruang menjalankan prosiding secara bebas dan telus serta semua pihak menghormati proses undang-undang tanpa mempolitikkan kes berkenaan.
Menurut Jais, kes berprofil tinggi seperti itu turut membuktikan Malaysia memerlukan reformasi institusi yang lebih menyeluruh termasuk pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengukuhan kebebasan institusi penguatkuasaan, Akta Pembiayaan Politik, perlindungan pemberi maklumat yang lebih berkesan serta mekanisme pengisytiharan aset yang lebih telus dan boleh diaudit.
Beliau berharap prosiding mahkamah dapat berlangsung secara adil, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh politik, manakala apa juga keputusan mahkamah kelak perlu dihormati sebagai manifestasi kedaulatan undang-undang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ismail Sabri Yaakob
