KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Filipina, Carles Cuadrat mengakui pasukannya sudah melakukan beberapa perubahan taktikal bagi mengekang ancaman Harimau Malaya menjelang aksi penting Kumpulan B Piala ASEAN Hyundai 2026 di Stadium KLFA, Cheras malam esok.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, barisan kejurulatihannya telah membuat analisis menyeluruh terhadap kekuatan Malaysia, khususnya di bahagian serangan yang disifatkannya memiliki ramai pemain berkualiti.
“Kami telah melakukan beberapa perubahan taktikal dan pelarasan terhadap sistem permainan.
“Kami telah menganalisis Malaysia secara terperinci. Mereka adalah pasukan yang sangat berbahaya terutama di bahagian serangan kerana memiliki ramai pemain berkualiti.
“Sudah tentu kami mempunyai pelan permainan kami sendiri,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan.
Bagaimanapun, bekas pengendali Bengaluru FC itu enggan mendedahkan secara terperinci pendekatan yang akan digunakan, namun memberi bayangan Filipina mungkin tampil dengan corak permainan berbeza berbanding aksi sebelum ini.
Pada perlawanan Kumpulan B menentang Thailand, 4 Ogos lalu, Cuadrat menggunakan formasi 4-4-2 yang menyaksikan pasukannya berjaya mengekang asakan lawan untuk tempoh yang panjang.
Filipina hampir membawa pulang satu mata sebelum dibolosi pada minit ke-85 untuk tewas tipis 0-1 kepada Thailand.
Prestasi bertahan yang dipamerkan itu menjadi suntikan keyakinan buat Filipina yang memburu keputusan positif bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
Malaysia pula dijangka memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan harapan meraih satu lagi kemenangan penting di hadapan penyokong sendiri.
Aksi Kumpulan B antara Malaysia dan Filipina dijadual berlangsung pada 8 Ogos, pukul 9 malam di Stadium KLFA, Cheras. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PFMNT
