SEPANG – Pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang dijadual berlangsung lebih awal, iaitu pada 4 hingga 6 September berbanding tarikh asal 11 hingga 13 September.
Perubahan jadual itu disahkan menerusi kenyataan bersama Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) Asia dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) bagi memastikan persiapan menjelang kembalinya perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut penganjur, pindaan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada kerja-kerja logistik serta persediaan litar sebelum Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Dengan memajukan perlumbaan ARRC selama seminggu, peralihan operasi litar kepada persiapan F1 dapat dilakukan tanpa menjejaskan kelancaran kedua-dua acara.
Keputusan itu dicapai hasil kerjasama rapat antara TWMR, Litar Antarabangsa Sepang serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan kedua-dua kejohanan dapat dianjurkan dengan jayanya.
TWMR memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pengurusan litar dan rakan penganjur kejuaraan bagi memastikan perubahan jadual tersebut memberi impak minimum terhadap pasukan, pergerakan logistik serta perancangan operasi sepanjang baki musim ini.
Walaupun perubahan dibuat dalam tempoh singkat, penganjur yakin saingan ARRC akan diteruskan tanpa gangguan besar.
FIM Asia dan TWMR turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan, pelumba, penaja, rakan komersial serta penyokong atas pemahaman dan kerjasama mereka.
Penganjur mengakui perubahan tarikh perlumbaan boleh menimbulkan cabaran dari segi logistik dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku, selain mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan menjelang satu lagi aksi penting di Sepang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC
