Ahmad Rizal (tengah) serta Md Amin bergambar bersama barisan pengurusan UPSI dan POLYCC pada Majlis Makan Malam Jalinan Strategik UPSI dan POLYCC, di Muallim Ballroom Scholar’s Suites Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Penganjuran Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Tengah 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja memberi ruang kepada institusi pendidikan tinggi memperkukuh kerjasama strategik, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti sekitar Tanjong Malim.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Ahmad Rizal Adnan berkata penganjuran program berskala besar seperti itu membuktikan institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan lebih luas dalam membangunkan komuniti setempat.
Beliau berkata kehadiran ribuan pelajar serta ibu bapa dan ahli keluarga sepanjang tempoh konvokesyen memberi kesan langsung kepada pelbagai sektor perkhidmatan dan perniagaan di kawasan berkenaan.
“Kalau kita laksanakan konvokesyen di UPSI ini, sebenarnya bukan soal meraikan pelajar, tetapi kita meraikan komuniti setempat juga.
“Banyak peluang perniagaan yang dapat diberikan kepada komuniti setempat dan saya percaya itu antara matlamat utama kenapa institusi pendidikan itu wujud di sesuatu tempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jalinan Strategik UPSI dan POLYCC, di Muallim Ballroom Scholar’s Suites Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Ts. Abdul Razak Sabtu serta Pengarah Politeknik Ungku Omar merangkap Pengerusi Majlis Konvokesyen Zon Tengah 2026, Dr. Hajah Salmi Che Meh.
Ahmad Rizal berkata perkara itu turut dapat dilihat menerusi perkembangan kawasan perumahan dan aktiviti ekonomi di Tanjong Malim yang berkembang seiring kewujudan institusi pendidikan tinggi seperti UPSI.
Pada majlis sama, Ahmad Rizal turut menyifatkan penganjuran Konvokesyen POLYCC Zon Tengah di UPSI sebagai satu perkembangan positif dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi, selain memberi suntikan kepada warga politeknik dan kolej komuniti apabila mendapat sokongan kepimpinan kerajaan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin bin Md Taff berkata penganjuran konvokesyen POLYCC di UPSI memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat apabila kira-kira 8,000 pelajar bersama ibu bapa dan keluarga hadir sepanjang lapan hari penganjuran.
Beliau berkata berdasarkan anggaran lima orang bagi setiap pelajar, jumlah kehadiran boleh mencecah kira-kira 40,000 orang sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti Tanjong Malim.
“Manfaat berkenaan merupakan sebahagian daripada sumbangan tidak langsung institusi pendidikan tinggi kepada masyarakat, khususnya dalam menggerakkan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata UPSI turut melihat kerjasama dengan POLYCC sebagai peluang memperkenalkan jenama universiti kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“UPSI bersedia memperluas kerjasama dengan POLYCC termasuk melalui pelaksanaan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (APEL), yang memberi peluang kepada individu berpengalaman menyambung pengajian berdasarkan pengalaman dan pembelajaran terdahulu,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
