PETALING JAYA – Selangor FC meneruskan momentum kebangkitan apabila mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Melaka FC dalam perlawanan tertunda Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium MBPJ, di sini, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan The Red Giants melonjak ke kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 25 mata, sekali gus menghangatkan persaingan kelompok atasan menjelang penghujung tahun 2025.
Selangor yang menurunkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz bermula garang seawal minit kedua apabila pemain import Jordan, Noor Al-Rawabdeh membuka tirai jaringan untuk memberikan kelebihan awal kepada tuan rumah.
Tekanan berterusan menyaksikan Melaka terus tertekan apabila Alvin Fortes melepaskan rembatan kencang pada minit ke-10 yang menewaskan penjaga gol pelawat, Jun Badelic, bagi gol kedua Selangor.
Tiga minit kemudian, Chrigor Moraes mempamerkan ketenangan di dalam kotak penalti apabila menyudahkan peluang untuk jaringan ketiga, sekali gus meranapkan semangat Melaka dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.
Melaka cuba bangkit menerusi gerakan individu Shahrel Fikri, namun kegagalan penyudah serta kekentalan benteng Selangor menyaksikan mereka buntu menembusi pertahanan lawan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor tidak memperlahankan tempo permainan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-57 menerusi Fortes, namun cubaan tersebut dinafikan oleh Badelic yang melakar satu aksi menyelamat cemerlang.
Melaka terus bergelut untuk mencipta peluang berbahaya apabila setiap percubaan mereka mudah dipatahkan barisan pertahanan Selangor yang kekal disiplin sehingga wisel penamat.
Keputusan itu meletakkan Selangor setara mata dengan Kuching City di tangga kedua, manakala KL City di kedudukan keempat, dengan perbezaan hanya ditentukan oleh jaringan gol menggambarkan sengitnya persaingan di puncak liga.
Sementara itu, Melaka FC terus dihimpit masalah apabila kekal di tangga kedua tercorot dengan enam mata selepas 12 perlawanan, sekali gus berdepan laluan sukar untuk keluar dari zon penyingkiran.
Foto kredit - SFC
