ANFIELD – Liverpool terus garang di pentas Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan musuh setempat, Everton 2-1 dalam aksi panas Derby Merseyside yang berlangsung di Anfield, malam ini.
The Reds yang turun dengan keyakinan tinggi pantas membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi rembatan kemas Ryan Gravenberch sebelum penyerang baharu mereka, Hugo Ekitike menambah derita The Toffees dengan gol kedua pada minit ke-29.
Everton yang cuba bangkit selepas rehat akhirnya berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Idrissa Gueye pada minit ke-58, namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan gagal dihalang benteng kental Liverpool.
Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Arne Slot terus kukuh di persada liga dengan rekod sempurna lima kemenangan daripada lima perlawanan, mengumpul 15 mata penuh.
Everton pula kekal di tangga ketujuh dengan tujuh mata. - DETIK MALAYSIA
