Morroco's team members celebrate with the trophy after winning the 2025 FIFA U-20 World Cup final football match between Argentina and Morocco at the National Stadium in Santiago on October 19, 2025. (Photo by Javier TORRES / AFP) (Photo by JAVIER TORRES/AFP via Getty Images)
SANTIAGO – Skuad muda Magribi mencipta sejarah apabila muncul juara Piala Dunia B-20 2025 selepas menundukkan gergasi Amerika Selatan, Argentina 2-0, dalam aksi final penuh mendebarkan di Stadium Nasional Julio Martinez Pradanos, Chile, awal pagi tadi.
Dua jaringan penyerang sensasi, Yassir Zabiri, pada minit ke-12 dan ke-29 sudah cukup memastikan kemenangan bersejarah buat skuad Atlas Lion Cubs, sekali gus menghadiahkan gelaran dunia pertama dalam sejarah bola sepak Magribi.
Argentina yang mendominasi perlawanan dengan penguasaan bola hampir 74 peratus di babak pertama, ternyata buntu menembusi benteng kukuh pertahanan Magribi yang beraksi penuh disiplin dan tersusun.
Pasukan bimbingan Abdellah El Idrissi itu tampil dengan corak permainan pantas dan penuh semangat juang, memanfaatkan setiap peluang dengan efektif. Keupayaan Zabiri menewaskan barisan pertahanan Argentina menjadi kunci utama kejayaan pasukan Afrika Utara itu.
Argentina cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan berbahaya termasuk rembatan Mateo Silvetti dan tandukan dari jarak dekat, namun ketangkasan penjaga gol Maroko menafikan segala usaha mereka.
Ketegangan sempat tercetus pada minit ke-73 apabila pemain Argentina berang dengan tindakan Othmane Maamma yang didakwa sengaja melengah-lengahkan masa ketika digantikan. Pertikaian kecil itu berakhir dengan layangan kad kuning kepada salah seorang pemain Argentina.
Meskipun diasak hebat hingga ke penghujung perlawanan, Magribi kekal ampuh mempertahankan kelebihan dua gol sehingga wisel penamat ditiup.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan Magribi negara Afrika pertama menjuarai Piala Dunia B-20, menandakan era baharu kebangkitan bola sepak benua tersebut di pentas dunia. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Fifa