JAKARTA – Harimau Malaya membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan langkah kanan selepas menewaskan Bangladesh 3-0 pada aksi pertama di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini hari ini.
Kemenangan itu turut menyaksikan penyerang naturalisasi kelahiran Brazil, Bergson da Silva, mencipta gol debut bersama skuad kebangsaan, manakala Arif Aiman muncul wira selepas meledak dua gol.
Malaysia menguasai permainan sebaik wisel permulaan dibunyikan dengan anak buah Tan Cheng Hoe mendominasi bahagian tengah sehingga Bangladesh sukar mengembangkan permainan.
Usaha Harimau Malaya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Arif Aiman membuka tirai jaringan menerusi penyudah selepas melakukan gerakan dari sebelah kanan.
Arif terus menjadi duri dalam daging buat pertahanan Bangladesh apabila sekali lagi mencetak gol pada minit ke-38.
Kesilapan pemain Bangladesh yang terlalu lama mengawal bola di kawasan sendiri dimanfaatkan Malaysia sebelum Arif yang tidak dikawal mudah melepaskan rembatan untuk menggandakan kelebihan.
Malaysia kemudian memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 2-0.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya terus mengawal permainan dan tidak mengambil masa lama untuk menambah jaringan.
Pada minit ke-53, Bergson akhirnya mencatat gol sulungnya bersama Malaysia selepas menyudahkan hantaran matang Lavere Corbin Ong untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Bangladesh cuba melakukan perubahan dengan memasukkan beberapa pemain baharu bagi menghidupkan semula cabaran mereka.
Bagaimanapun, Malaysia dilihat mula mengurangkan tekanan memasuki minit ke-70, untuk menyimpan tenaga selepas masih mempunyai dua aksi menentang Indonesia dan Singapura.
Bangladesh hampir memperoleh gol menerusi pemain Sheffield United, Hamza Choudhury, yang melakukan larian ke dalam kawasan pertahanan Malaysia.
Hamza berjaya melepasi kawalan Brad Tapp dan Dion Cools sebelum berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli.
Namun, penyudah pemain yang pernah beraksi bersama Leicester City itu tidak cukup kemas untuk menewaskan Haziq.
Tiada jaringan tambahan selepas itu apabila Malaysia mengekalkan kelebihan 3-0 sehingga wisel penamat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
