Mapim sokong larangan saji alkohol di premis sekolah

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan premis sekolah termasuk dewan yang dibina atau disewa dalam kawasan sekolah tidak sepatutnya digunakan bagi acara yang melibatkan penyajian alkohol.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendirian itu selaras dengan matlamat asal sekolah sebagai ruang pembelajaran dan pembangunan insan, bukannya tempat menganjurkan aktiviti yang bertentangan dengan nilai pendidikan seperti pengambilan alkohol atau perjudian.

Beliau berkata, langkah tersebut mencerminkan sikap bertanggungjawab kerajaan dalam memelihara budaya sekolah sebagai institusi pembelajaran sebenar.

“Sekolah ialah ruang utama pembentukan akhlak, moral dan tabii anak bangsa. Penyajian alkohol di premis sekolah, walaupun selepas waktu pengajaran, boleh memberi isyarat yang kurang baik kepada pelajar dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini

Mohd Azmi berkata, larangan itu bukan bertujuan mengekang kebebasan komuniti bukan Muslim atau menolak tradisi budaya tertentu, sebaliknya memastikan fungsi pendidikan tidak terganggu oleh aktiviti yang boleh mencetuskan kerunsingan sosial.

“Dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, norma asas seperti keselamatan pelajar, amanah sekolah dan kebajikan masyarakat mesti dipertahankan bersama,” katanya.

Sementara itu, Mapim menggesa Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan untuk melaksanakan modul kesedaran mengenai tanggungjawab premis pendidikan serta implikasi sosial penganjuran aktiviti yang melibatkan alkohol.

“Larangan penyajian alkohol di premis sekolah adalah langkah progresif yang menjaga kepentingan pelajar serta maruah institusi pendidikan sebagai pusat pembelajaran yang selamat dan mulia,” katanya.

Tambahnya, Mapim komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dilakukan secara telus, adil dan berteraskan nilai kemanusiaan serta keharmonian sosial. - DETIK MALAYSIA