KUALA LUMPUR – Malaysia sememangnya bertuah kerana memiliki banyak masjid dan surau, namun persoalannya sejauh mana institusi berkenaan berjaya membentuk manusia, keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, masalah umat hari ini mungkin bukan kekurangan masjid, sebaliknya kegagalan menghidupkan roh masjid sepenuhnya.
Katanya, masjid pada zaman Rasulullah SAW bukan sekadar tempat menunaikan solat, malah menjadi pusat pembinaan iman, ilmu, akhlak, persaudaraan, kebajikan, musyawarah dan kepimpinan.
“Kita mungkin mempunyai masjid yang banyak, tetapi belum tentu mempunyai masyarakat yang dibentuk oleh masjid.
“Ukuran sebenar kejayaan masjid bukanlah pada keindahan bangunannya, tetapi manusia yang keluar dari masjid,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Masjid Sedunia, hari ini.
Menurutnya, masjid perlu memainkan peranan lebih dekat dengan realiti masyarakat termasuk membantu keluarga yang berdepan masalah kewangan, mendekati anak muda yang tercicir serta memberi perhatian kepada warga emas yang hidup bersendirian.
“Kalau ada keluarga yang tidak cukup makan, masjid perlu tahu. Kalau ada anak muda yang tercicir, masjid perlu mendekati.
“Kalau ada keluarga yang berkonflik, masjid perlu menjadi tempat pemulihan dan jika masyarakat berpecah, masjid mesti menjadi tempat menyatukan,” katanya.
Mohd Azmi berkata, kejayaan masjid juga tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah program seperti kuliah, ceramah, seminar, jamuan dan aktiviti Ramadan.
Sebaliknya, katanya, impak terhadap kehidupan umat perlu menjadi ukuran utama.
“Berapa ramai orang miskin yang berjaya dibantu? Berapa anak muda yang berjaya diselamatkan daripada keruntuhan sosial?
“Berapa keluarga yang berjaya dipulihkan dan berapa banyak masalah masyarakat yang berjaya diselesaikan melalui institusi masjid?” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu perlu mengubah konsep daripada activity-based mosque kepada impact-based mosque, iaitu masjid diukur berdasarkan kesannya terhadap kehidupan umat.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, anak muda perlu diberikan ruang lebih besar dalam pengurusan dan masa depan masjid, termasuk dalam bidang teknologi, media, pendidikan, kebajikan, ekonomi, sukan, kreativiti serta program kemasyarakatan.
“Masjid tidak boleh hanya menjadi tempat anak muda datang sebagai peserta, sebaliknya perlu menjadi tempat mereka belajar menjadi pemimpin,” katanya.
Beliau turut menegaskan masjid perlu menjadi pusat penyatuan umat Islam tanpa mengira status sosial, perbezaan pandangan, organisasi dan latar belakang.
Menurutnya, saf solat sendiri merupakan latihan kesatuan sosial apabila golongan kaya dan miskin, pemimpin serta rakyat berdiri bersama.
“Jika kita bersalaman di masjid tetapi masih tidak peduli kepada jiran, kita belum memahami roh masjid.
“Jika kita berdiri dalam satu saf tetapi masih membenci saudara seagama kerana perbezaan kecil, kita belum menghayati makna masjid,” katanya.
Menyentuh isu Palestin, Mohd Azmi berkata, Hari Masjid Sedunia juga tidak boleh dipisahkan daripada keadaan masjid di Gaza dan ancaman terhadap Masjid al-Aqsa.
Katanya, masjid di Palestin bukan sekadar bangunan, sebaliknya menjadi simbol identiti, sejarah, maruah dan kewujudan umat.
Beliau berkata, masjid juga perlu menjadi pusat kesedaran kemanusiaan dan melahirkan jaringan bantuan terhadap umat yang berdepan konflik serta krisis kemanusiaan.
“Khutbah tentang Palestin mesti melahirkan kesedaran. Kesedaran mesti melahirkan tindakan dan tindakan mesti melahirkan jaringan kemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, sempena bulan kemerdekaan Malaysia, beliau berkata, masjid juga mempunyai peranan dalam membentuk manusia yang bebas daripada kejahilan, kemiskinan, ketakutan, perpecahan, penindasan dan kebergantungan yang melemahkan maruah.
MAPIM mencadangkan gagasan ‘Masjid Hidup, Umat Bangkit’ dengan lima fungsi strategik, iaitu masjid sebagai pusat ibadah dan pembinaan spiritual; pusat ilmu dan pembinaan generasi; pusat kebajikan dan penyelesaian masalah masyarakat; pusat penyatuan serta pembangunan kepimpinan umat; dan pusat kesedaran kemanusiaan serta solidariti global.
“Masjid kita tidak hilang. Bangunannya ada, mimbar ada, mihrab ada dan saf ada.
“Yang perlu kita cari kembali ialah roh masjid,” katanya.
Mohd Azmi berkata, roh masjid yang sebenar ialah yang mendekatkan manusia kepada Allah, menjadikan orang kaya peduli kepada orang miskin, menjadikan jiran sebagai saudara dan ilmu sebagai kekuatan.
“Apabila masjid benar-benar hidup, umat akan bangkit.
“Masjid membina manusia, manusia membina masyarakat, masyarakat yang bersatu membina umat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
