KUALA LUMPUR – Kisah seorang bakal pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Lovely Sabana Augustine yang berdepan kesempitan kewangan untuk melanjutkan pengajian menyentuh hati rakyat Malaysia.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pihaknya menerima banyak perkongsian daripada rakan-rakan karib termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Pengerusi MARA serta pelbagai pihak berhubung kesukaran yang dihadapi Lovely.
Menurutnya, UPSI sejak hari pertama mengetahui mengenai perkara itu sudah menghubungi Lovely bagi memberikan bantuan sewajarnya.
“Begitu juga dengan segenap rakyat Malaysia, pemimpin masyarakat, yayasan, agensi dan badan kerajaan yang turut turun untuk menghulurkan bantuan untuk adik Lovely dan keluarga.
“Inilah hebatnya negara Malaysia tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kisah Lovely membuktikan bahawa rasa kasih sayang tanpa syarat masih mekar dalam jiwa masyarakat Malaysia.
Katanya, bantuan yang diberikan tidak mengira agama, bangsa, dialek mahupun latar belakang kehidupan.
“Tanpa mempersoal anutan agama, tanpa membanding jalur bangsanya, tanpa menyisih dialek kaumnya dan tanpa menghindar kesempitan hidupnya.
“Kita semua tampil, kita semua hadir, kita semua luahkan sayang dan kita semua menderma serta menyumbang.
“Agar anak gadis yang bijak lagi jelita ini dapat mencapai cita-citanya dan mengubah nasib keluarga,” katanya.
Tambahnya, kisah Lovely turut menyatukan rakyat Malaysia selain membuktikan semangat kasih sayang dan perpaduan masih subur dalam masyarakat.
“Terima kasih Adik Lovely kerana menyatukan segenap Malaysia.
“Terima kasih Adik Lovely kerana membuktikan kasih sayang tanpa syarat masih mekar di Malaysia.
“Terima kasih Adik Lovely kerana membugarkan kembali semangat Malaysia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tampil membantu Lovely dan keluarganya.
“Terima kasih semua rakyat Malaysia kerana membuktikan bahawa keinsanan, kasih sayang, keprihatinan dan perpaduan sentiasa mekar dalam jiwa kita semua.
“Jiwa Malaysia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
