Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Keputusan Malaysian Football League (MFL) menambah kuota pendaftaran pemain tempatan bagi Liga Malaysia musim 2026-2027 dilihat sebagai langkah positif oleh kelab-kelab terutama dalam membantu pengurusan pasukan berdepan jadual pertandingan yang padat.
Terdahulu, MFL mengumumkan Ahli Lembaga Pengarahnya telah membuat keputusan untuk menambah kuota lima pemain tempatan kepada semua kelab Liga Malaysia 2026-2027 dengan menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain, membabitkan 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.
Keputusan tersebut dibuat susulan permohonan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal mengharungi jadual padat apabila masing-masing bersaing dalam kejohanan AFC Champion League Elite dan AFC Champion League 2, AFF Shopee Cup dan pertandingan peringkat domestik serta memberi peluang kepada lebih ramai pemain tempatan didaftarkan dalam skuad utama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan melihat penambahan lima kuota pemain tempatan itu sebagai satu keputusan yang tepat, khususnya mengambil kira komitmen pasukannya dalam pelbagai kejohanan musim depan termasuklah AFC Champion League 2 dan AFF Shopee Cup
“Tambahan pemain daripada 33 kepada 38 orang, iaitu lima pemain tempatan, adalah satu keputusan positif kerana bagi pasukan kami sendiri ia membantu disebabkan musim ini kita mempunyai banyak perlawanan yang perlu dihadapi, lebih-lebih lagi ACL2 dan Shopee Cup.
“Sebab apabila banyak sangat perlawanan kita akan hadapi, faktor kecederaan turut akan jadi kebimbangan dan sebab itu dengan tambahan pemain seperti ini dapat membantu kita, tapi kena tengok juga kemampuan kewangan.
“Kuching City FC pula tidak mempunyai pasukan simpanan dan selama ini turut bergantung kepada pasukan Piala Presiden serta skuad belia sebagai sumber tambahan pemain,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus pula berpandangan penambahan kuota tersebut tidak semestinya mengubah strategi pengambilan pemain secara drastik, sebaliknya memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada kelab.
Katanya, setiap pengambilan pemain tetap perlu berdasarkan keperluan pasukan, kemampuan kewangan serta perancangan jangka panjang kelab.
Bahkan, penambahan kuota itu juga mampu membuka lebih banyak ruang kepada pemain tempatan, termasuk pemain muda yang sedang melalui proses transisi ke peringkat senior.
“Penambahan kuota ini memberikan lebih fleksibiliti kepada kelab dalam menguruskan skuad, khususnya sekiranya terdapat pemain tempatan yang sesuai dengan keperluan pasukan.
“Kami melihat keputusan ini sebagai satu pilihan tambahan kepada kelab dan bukannya keperluan untuk memenuhi keseluruhan kuota yang diberikan,” katanya.
“Tapi jumlah pendaftaran pemain tidak semestinya menjamin minit permainan yang lebih banyak kerana peluang beraksi tetap bergantung kepada prestasi, tahap kesediaan dan persaingan dalam pasukan”, katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Syahrizan Mohd Zain juga senada apabila melihat tambahan kuota itu boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada kelab ketika jendela perpindahan kedua, terutama sekiranya berlaku masalah kecederaan atau keperluan untuk melakukan perubahan terhadap skuad.
“Memang ada bagusnya kerana ia dapat membantu perkembangan pemain tempatan dan memberikan lebih banyak peluang kepada mereka untuk berada dalam setiap pasukan.
“Kalau berlaku kecederaan, pada jendela perpindahan kedua nanti akan ada lebih banyak pilihan untuk setiap pasukan membuat pertukaran atau pemilihan pemain.
“Secara keseluruhannya, apabila kuota ditambah, saya rasa peluang untuk lebih ramai pemain tempatan kita mendapat tempat dalam pasukan juga akan menjadi lebih besar,” katanya. – DETIK MALAYSIA
