MPAJ, PDRM laksana operasi ambang tahun baharu

AMPANG JAYA – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Operasi Ambang Tahun Baharu 2026 secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman dan pematuhan undang-undang sepanjang sambutan ambang tahun baharu, awal pagi tadi.

MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dijalankan dengan kerjasama PDRM melibatkan Ibu Pejabat Daerah (IPD) serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pandan Indah, selain sokongan Polis Bantuan.

Menurutnya, operasi berkenaan merangkumi pelaksanaan Ops Jaga Aman, Ops Sekat, Ops Premis dan Ops Risiko dengan penugasan anggota di beberapa kawasan tumpuan sekitar Ampang dan Pandan.

“Kawalan lalu lintas serta sekatan jalan raya dilaksanakan di lokasi strategik, di samping pemeriksaan ke atas premis berisiko bagi memastikan pematuhan peraturan serta keselamatan orang ramai,” katanya.

Hasil operasi mendapati sebanyak 33 semakan telah dijalankan, dengan 22 kompaun dikeluarkan serta empat sitaan dilaksanakan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kebersihan, pengendalian makanan, iklan, penjaja tanpa lesen dan operasi premis berisiko.

Tambah kenyataan itu, operasi dilaksanakan secara terancang dan berfokus tanpa sebarang insiden keselamatan serius sepanjang tempoh sambutan ambang tahun baharu.

MPAJ menegaskan komitmen untuk terus mempergiat penguatkuasaan dan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan persekitaran bandar kekal selamat, teratur dan sejahtera demi kesejahteraan komuniti setempat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklum balas berkaitan isu perbandaran boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-8100. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - FB MPAJ