KUALA LUMPUR – Ketika negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi, kestabilan politik semakin terbina dan usaha memperbaiki tatakelola sedang dilaksanakan, persoalan timbul mengapa terdapat pihak yang begitu ghairah mahu pilihan raya diawalkan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pilihan raya sememangnya mekanisme penting dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya dipercepatkan hanya kerana ada pihak melihat peluang politik untuk meraih kemenangan.
Menurut beliau, pilihan raya turut membawa kos besar kepada negara selain berpotensi mengalihkan tumpuan kerajaan, mencetuskan ketidaktentuan politik dan ekonomi serta mengembalikan suasana persaingan politik yang tajam.
“Jika kerajaan masih mempunyai mandat yang sah, apakah keperluan untuk tergesa-gesa?
“Persoalan yang lebih penting ialah apa yang rakyat akan dapat daripada pilihan raya yang diawalkan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, sekiranya ekonomi sedang dipulihkan, proses itu perlu diperkukuhkan, manakala peningkatan pelaburan pula perlu disokong dengan usaha mengekalkan keyakinan pelabur.
Katanya, usaha memperbaiki tatakelola dan reformasi institusi juga perlu diberikan ruang untuk dilaksanakan sehingga hasilnya benar-benar dapat dirasai rakyat.
“Jika isu kos sara hidup masih membebankan rakyat, tumpukan tenaga politik kepada penyelesaian masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata, negara memerlukan kesinambungan dasar dan ketenangan bagi membina semula kekuatan ekonomi, manakala rakyat pula lebih memerlukan pekerjaan, pendapatan yang baik, perkhidmatan awam cekap, pendidikan berkualiti, kesihatan yang mudah diakses dan kehidupan lebih terjamin.
“Rakyat tidak bangun setiap pagi memikirkan bila pilihan raya perlu diadakan. Mereka memikirkan bagaimana hendak membayar bil, membesarkan anak, mendapatkan pekerjaan, mengurus perniagaan dan memastikan masa depan keluarga lebih baik.
“Maka ukuran kejayaan pemerintahan sepatutnya bukan berapa cepat pilihan raya dapat diadakan, tetapi berapa banyak masalah rakyat dapat diselesaikan sebelum mandat berakhir,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata politik matang seharusnya menilai sama ada negara sudah memperoleh manfaat maksimum daripada tempoh pemerintahan yang masih berbaki.
Menurutnya, jika masih banyak agenda yang belum diselesaikan, tumpuan perlu diberikan kepada kerja dan bukannya obsesi terhadap pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan supaya budaya politik yang terlalu awal memulakan kempen pilihan raya tidak dibiarkan mempengaruhi pentadbiran negara.
Katanya, apabila parti politik terlalu awal memasuki gelanggang pilihan raya, tenaga pentadbiran berisiko terseret ke dalam percaturan politik sehingga dasar awam dinilai berdasarkan keuntungan politik jangka pendek, bukannya kepentingan negara dalam tempoh panjang.
“Malaysia sudah melalui tempoh politik yang penuh ketidaktentuan. Pertukaran kerajaan, persaingan kuasa dan polarisasi politik telah meninggalkan kesan terhadap keyakinan rakyat dan institusi negara.
“Justeru, apabila keadaan mula stabil, kita sepatutnya menghargai kestabilan itu dan menggunakan ruang yang ada untuk memperkukuh negara,” katanya.
Mohd Azmi menegaskan bahawa kestabilan bukan alasan untuk berdiam diri, sebaliknya peluang untuk kerajaan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.
Katanya, kerajaan yang masih mempunyai mandat perlu menggunakannya bagi menyelesaikan sebanyak mungkin persoalan rakyat, manakala pembangkang pula bertanggungjawab mengkritik, menyemak serta menawarkan alternatif.
“Masyarakat sivil perlu terus mengawasi. Media perlu terus bertanya. Institusi negara perlu terus diperkuatkan.
“Itulah demokrasi yang berfungsi,” katanya.
Beliau berkata, kelemahan kerajaan boleh didedahkan, penyalahgunaan kuasa boleh disiasat, rasuah perlu diambil tindakan, manakala dasar tidak berkesan boleh diperbaiki tanpa perlu menggugat kestabilan pentadbiran.
Pada masa sama, rakyat perlu diberikan ruang untuk menilai prestasi kerajaan secara objektif dengan membandingkan janji dan pencapaian serta menilai dasar berdasarkan hasilnya.
“Jangan takut kepada masa. Takutlah jika masa yang diberikan kepada kerajaan tidak digunakan untuk bekerja.
“Pilihan raya tetap akan tiba. Mandat tetap akan berakhir. Rakyat tetap akan membuat keputusan,” katanya.
Menurut beliau, persoalan sebenar bukan sama ada pilihan raya perlu diadakan kerana ia tetap perlu dilaksanakan apabila sampai waktunya mengikut kerangka Perlembagaan, tetapi mengapa ia perlu diawalkan ketika negara masih memerlukan kesinambungan untuk menyelesaikan agenda pemulihan dan pembaharuan.
Mohd Azmi berkata semua pihak perlu membezakan antara kepentingan parti dan kepentingan negara.
“Parti politik mempunyai kepentingan politik masing-masing. Itu lumrah dalam demokrasi. Tetapi kerajaan yang memegang amanah negara mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.
“Setiap keputusan besar mesti mempertimbangkan kestabilan ekonomi, kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur, kesinambungan pentadbiran dan kepentingan generasi akan datang,” katanya.
Beliau mengingatkan supaya kepentingan politik jangka pendek tidak mengatasi kepentingan nasional.
“Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang terlalu sibuk mengira bila pilihan raya paling menguntungkan parti mereka.
“Rakyat memerlukan pemimpin yang sibuk mengira berapa banyak keluarga telah keluar daripada kemiskinan, berapa banyak pekerjaan berkualiti diwujudkan, berapa banyak kebocoran berjaya dihentikan, berapa banyak institusi diperbaiki dan berapa banyak masalah rakyat diselesaikan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata jika negara sedang pulih, proses pemulihan itu perlu diperkukuhkan, manakala usaha memperbaiki tatakelola dan reformasi pula perlu disempurnakan sebelum mandat diserahkan semula kepada rakyat.
“Pilihan raya bukan matlamat pemerintahan. Pilihan raya ialah mekanisme untuk mendapatkan mandat.
“Matlamat pemerintahan ialah berkhidmat, memperbaiki kerosakan, melindungi kepentingan rakyat dan membina negara yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut mengajukan persoalan kepada pihak yang mahu pilihan raya diawalkan sama ada terdapat sesuatu yang benar-benar mendesak sehingga ia perlu dilaksanakan lebih awal.
“Apa yang terlalu mendesak?
“Jika tiada krisis Perlembagaan, tiada keruntuhan pentadbiran, tiada keperluan nasional yang mendesak dan kerajaan masih mempunyai mandat, mengapa perlu tergesa-gesa?” katanya.
Mohd Azmi berkata negara perlu diberikan ruang untuk bekerja, kerajaan diberikan peluang untuk membuktikan prestasi dan rakyat diberikan ruang untuk menilai.
“Apabila sampai waktunya, rakyat akan menentukan.
“Dan keputusan rakyat itulah yang mesti kita hormati,” katanya. – DETIK MALAYSIA
