BUKIT JALIL – Dua faktor menjadi pengubah haluan Newjoe Lau, lima tahun lalu, sehingga kini dia memikul harapan sebagai antara pelumba berbasikal trek negara yang berpotensi mencuri tumpuan pada Temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Newjoe, 21, sebelum ini lebih terpikat dengan acara luncur ais, namun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghentikan pembabitannya dalam sukan berkenaan.
Pada tempoh sama, aksi hebat jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada Ogos 2021 untuk meraih pingat perak acara keirin, membuatkan Newjoe jatuh hati untuk berkecimpung dalam sukan berbasikal trek.
Maka bermulalah perjalanan baharu Newjoe dalam sukan berbasikal trek, meskipun ketika itu dia masih belum mengetahui sejauh mana kemampuannya dalam sukan tersebut.
Bermula sebagai percubaan, Newjoe akhirnya semakin serius selepas melihat persamaan antara kedua-dua sukan itu, khususnya dari segi kelajuan, taktikal dan corak perlumbaan.
Lebih menarik, dalam tempoh kurang setahun selepas mula menceburi berbasikal, bakat Newjoe mula mendapat perhatian apabila dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk Ng Joo Ngan.
Sejak itu, perkembangan pantasnya diterjemahkan menerusi beberapa penampilan di pentas antarabangsa, termasuk membantu negara meraih pingat emas acara kejar-mengejar berpasukan lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025.
Bagi Newjoe, kejayaan tersebut menjadi antara detik paling bermakna apabila berpeluang menyanyikan lagu Negaraku di podium, sekali gus merasakan segala pengorbanan dan kerja kerasnya sejak meninggalkan luncur ais akhirnya berbaloi.
Kini, lima tahun selepas membuat keputusan yang mengubah haluan kariernya, Newjoe berada di pentas lebih besar apabila bakal membuat penampilan di Sukan Asia Aichi-Nagoya dalam acara omnium.
Namun, peluang itu hadir selepas dia berdepan cabaran tersendiri apabila terbabit dalam kemalangan ketika aksi final scratch pada Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu.
Enggan membiarkan insiden itu menjejaskan persiapan, Newjoe kembali menjalani latihan hanya lima hari selepas kemalangan dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada fasa akhir persiapan.
Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyediakan sebuah basikal baharu selepas basikal lamanya patah dalam insiden berkenaan.
“Saya nak pastikan setiap sesi latihan mencapai sasaran yang ditetapkan dan saya beri sepenuh usaha. Bila sampai hari perlumbaan nanti, saya tahu saya sudah buat yang terbaik,” katanya.
Lebih daripada sekadar mengejar keputusan peribadi, Newjoe mahu menggunakan penampilan sulungnya di Sukan Asia untuk membawa mesej bahawa acara endurance juga mampu menjadi kekuatan Malaysia.
Dia berharap pencapaiannya nanti dapat membuka lebih banyak ruang dan sokongan kepada acara endurance, selain membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai potensi dalam disiplin tersebut.
“Saya nak tunjukkan bahawa acara berbasikal trek endurance juga ada tempat dan potensi di Malaysia. Saya harap kita boleh mendapat lebih banyak sokongan untuk acara ini seperti mana yang diberikan kepada acara lain,” katanya. – DETIK MALAYSIA
