Nor Saiful Zaini puji disiplin, ingatkan cabaran Belanda lebih ‘ganas’

MADURAI – Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tidak dapat menyembunyikan rasa puas hati selepas anak buahnya mempamerkan disiplin tinggi dan pematuhan taktikal yang cukup kemas ketika membelasah Austria 5-1 pada aksi pembukaan Piala Dunia Remaja 2025 di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

Menurutnya, segala perancangan taktikal berjalan lancar termasuk neutralisasi ancaman bola panjang pasukan lawan yang menjadi senjata utama Austria.

“Kita memang turun dengan sasaran tiga mata. Cara Austria bermain hari ini banyak bergantung pada bola panjang, tetapi kita berjaya tutup kelebihan itu. Cabaran bola panjang, situasi satu lawan satu, banyak yang kita berjaya neutralisasikan,” katanya.

Beliau berkata, kekentalan benteng pertahanan turut menjadi faktor penting kejayaan Young Tigers apabila pemain berjaya menyerap tekanan dan mengekang Austria di zon berbahaya.

“Sebab itu permainan nampak lebih mudah. Kita dapat tutup pertahanan mereka dengan baik dalam jarak 16 hingga 25 ela. Kita mengepung, menolak mereka masuk ke dalam kotak D mereka sendiri. Itu satu perkembangan positif,” ujarnya.

Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila Nor Saiful terus mengingatkan bahawa cabaran sebenar menanti apabila Malaysia bakal berdepan jaguh Eropah, Belanda, pada aksi kedua kumpulan esok, pukul 6.15 petang waktu Malaysia.

“Kita bermain mengikut karakter pasukan lawan. Esok kita jumpa Belanda, satu pasukan yang sangat kuat dan pilihan kejohanan. Mereka jauh berbeza daripada Austria. Apa yang penting sekarang ialah pemain mendapat rehat yang cukup,” katanya.

Jelasnya, aksi menentang Belanda memerlukan tahap pertahanan lebih ketat dengan disiplin ‘man-to-man marking’ serta mengelakkan sebarang situasi satu lawan satu atau tiga lawan dua yang boleh mengundang padah.

“Belanda ini antara yang terbaik di dunia. Mereka menyerang bagus, bertahan pun bagus. Jadi kita tak boleh buka ruang besar. Elakkan hilang bola kerana itu akan beri mereka peluang menguasai permainan,” tegasnya. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - International Hockey Federation (FIH)