KUALA LUMPUR – “Dia kata nak kerja di Singapura, tapi rupa-rupanya dibawa jadi penipu di Kemboja.”
Itu luahan pilu seorang ibu dari Batu Pahat, Johor apabila anak bongsunya yang berusia lingkungan 20-an diperdaya sindiket tawaran kerja palsu sebelum diperdagangkan ke pusat penipuan di Sihanoukville, Kemboja.
Menurut ibu mangsa, Izah, 45 anaknya yang mesra dipanggil Ijai sebelum ini bekerja sebagai operator kilang dan bersetuju menerima tawaran kerja di Singapura yang diperoleh daripada seorang ejen dikenali sebagai Tiger pada 29 September lalu.
“Anak saya percaya tawaran itu sebab ramai orang Johor memang kerja di Singapura. Tapi lepas seminggu, dia hubungi saya melalui WhatsApp dan merayu diselamatkan. Dia kata takut dan mahu balik,” katanya pada sidang media anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Wanita itu berkata, anaknya kini dipaksa menjadi scammer yang menipu rakyat Malaysia sendiri dan dikenakan pelbagai hukuman jika gagal mencapai sasaran.
“Dia cerita kalau tak cukup mangsa, mereka disuruh ‘pumping’ atau ‘ketuk ketampi’. Kadang-kadang dia dengar orang menjerit sebab kena pukul. Saya tak boleh tidur dan asyik menangis fikirkan dia,” katanya sebak.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa ditempatkan bersama kira-kira 20 lelaki Melayu lain yang turut ingin diselamatkan dari pusat operasi itu.
Katanya, usaha menyelamat sedang dijalankan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Kemboja dan pihak berkuasa negara itu termasuk Ministry of Interior serta pasukan khas yang diuruskan oleh wakil Malaysia, Azrul Syafiq.
“Kami tidak akan membayar wang tebusan kerana ia hanya mengkayakan sindiket. Fokus kami ialah menyelamatkan mangsa secara sah dan selamat,” katanya.
Sementara itu, ibu Ijai turut menasihatkan orang ramai, terutama anak muda di kampung supaya berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara yang tidak disahkan.
“Ramai tak tahu, kalau kena tipu, mereka bukan saja dipukul tapi boleh dijual organ. Saya cuma nak anak saya balik dengan selamat,” katanya.
Beliau memaklumkan akan membuat laporan polis di Balai Polis Tun Razak, Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan siasatan dan proses menyelamat. - DETIK MALAYSIA
