PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata kisah seorang mahasiswa baharu Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran,19, wajar dijadikan inspirasi kepada seluruh masyarakat.
Beliau berkata, meskipun kehilangan kedua-dua ibu bapa pada usia muda, Iman Shah tetap berusaha hadir mendaftar sebagai pelajar baharu di UUM.
“Alhamdulillah, dengan maklumat yang kita peroleh, pihak UUM segera menjejaki adik Iman Shah dan membantu beliau dalam segala urusan pendaftaran.
“Kepada adik Putera, usah bimbang. Melalui Program SULUNG, yuran pengajian akan ditanggung sepenuhnya sehingga tamat pengajian. Beliau juga akan menerima kemudahan lain seperti komputer riba serta perbelanjaan wang saku bulanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Zambry turut menitipkan pesanan kepada Putera agar terus kuat semangat, belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan.
Beliau berkata, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersedia membantu pelajar yang berdepan kesulitan supaya mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.
“Saya ucapkan tahniah kepada adik Putera. Kisah anda adalah sumber inspirasi kepada kita semua. Terima kasih juga kepada Naib Canselor dan warga UUM yang sentiasa komited membantu pelajar,” katanya.
Semalam, kisah Putera Iman Shah yang juga anak tunggal yatim piatu mencuri perhatian ramai apabila gambarnya hadir seorang diri mendaftar sebagai mahasiswa baharu UUM tular di media sosial.
Kesedihan Putera Iman Shah yang kehilangan ibu sejak Tingkatan Satu dan bapanya pula meninggal dunia pada bulan lalu, sedikit terubat apabila disambut mesra kakitangan UUM ketika dia tiba di Stesen Keretapi Arau, Perlis pada jam 12.15 tengah hari semalam.- DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Universiti Utara Malaysia (Official FB)
